bumiyang toolbars

Get our toolbar!

Rakan Bumiyang;

Herba Ajaib

21 Oct 2010

Ringkasan Ucapan Presiden Umno...

Mesej Najib tersirat, model politik baru Umno tak tersurat

October 21, 2010
Presiden Umno menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2010. — Foto Bernama


ANALISIS, 21 Okt — Selepas 18 bulan menerajui Umno dan Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak menggariskan model politik baru bagi Umno hari ini.
Walaupun beliau tidak menggariskan secara fizikal atas nama model politik baru — yang kali pertama diketengahkan Sabtu lalu — Najib, anak perdana menteri kedua menegaskan, Umno harus melalui tiga fasa pemulihan demi membina masa depan dan mendaya bangsa.

Fasa pertama dan terpenting, kata Perdana Menteri, adalah memperakui kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh parti dominan BN itu.

Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab bagi membaiki kekurangan itu.

Kemudian, fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja.

Jika tahun lalu beliau membawa Model Baru Ekonomi (MBE), pada perhimpunan tahunan Umno ini, Najib membawa model politik baru yang beliau janjikan hujung minggu lalu.

Sebelum Najib pernah menyebut bahawa MBE perlulah diterima pasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020.

Najib berkata beliau juga ingin melihat MBE tidak akan mengetepikan agenda Melayu, malah akan mencari pendekatan yang lebih dinamik dan menjanjikan hasil yang lebih besar.

“Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban.

“Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya,” kata beliau di hadapan perwakilan Umno dan pemimpin parti-parti komponen BN pagi tadi.

Presiden Umno yang ketujuh ini menggariskan aspek ini dalam ucapannya dasar bertemakan “Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran” dengan mengimbas kembali perjalanan politik orang Melayu sekitar lima abad lamanya — khususnya era Kesultanan Melaka.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah yang turut melihatnya sebagai model politik baru yang diinginkan oleh Najib walaupun ia tidak disebutkan secara langsung ataupun secara fizikal.

“Ya, boleh dilihat begitu,” kata penulis buku “Politik Baru” ini.

Kata beliau, “model politik baru relevan dalam konteks pemulihan Umno yang disebutnya dalam tiga fasa itu.”

Bermakna perlu ada wajah dan corak yang lebih baik, berintegriti dan bersih lagi segar, kata Saifuddin.

“Ucapan Datuk Seri Najib adalah pendidikan politik tentang kedudukan sebenar politik Malaysia, mengandungi pemahaman sejarah, realiti semasa dan sorotan masa depan; dengan peranan Umno dan Melayu sebagai teras politik Malaysia.

“Umno guna konsep wasatiyah iaitu kesederhanaan, pertengahan dan berimbang, pertahan dan mesti mampu berjaya atas kekuatan minda dan kemahiran,” katanya.

Najib memeriksa perbarisan sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini. — Foto Bernama
Malah kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi ini, ia juga ucapan politik seratus peratus sebagai jawapan kepada asakan-asakan melampau yang mempersoal prinsip-prinsip kontrak sosial.
Perkara yang sama juga disetujui oleh penganalisis politik Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian.

“Najib tidak menyatakan menggunakan nama model, tetapi beliau sudah menggariskan perkara-perkara baru yang diinginkan beliau bagi Umno menghadapi cabaran baru,” kata beliau.

Dalam ucapannya hari ini, kata Najib, orang Umno tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana.

“Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang Umno tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan Umno musnah,” katanya lagi.

Najib mengingatkan bahawa pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran di mana sesiapa yang berilmu dan menguasai maklumat, maka dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran.

Najib berkata bagi mendepani segala cabaran, Umno akan tetap menunaikan amanahnya untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara dengan inisiatif, program dan dasar yang konkrit.

“Umno tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut di tepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri.

“Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau,” katanya.

Beliau berkata Umno bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.

Najib mengetengahkan idea gerak kerja Umno dengan menekankan bahawa menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun.

“Jadinya, kita tidak boleh lagi berlengah-lengah dan membuang masa.

“Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti.

“Gerak kerja Umno sebagai sebuah parti siasah mesti berubah. Kendati begitu, Umno harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa,” kata beliau.

Malah dalam membawa pendekatan baru sementara tegas perjuangan kekal tidak berubah, Najib berkata: “Laksamana Hang Tuah menyebut, takkan Melayu hilang di dunia.”

“Begitulah, bangsa Melayu terutamanya dirantau ini telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka.

“Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka.

“Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis,” kata beliau dilihat merujuk kepada prestasi Umno-BN pada pilihan raya umum 2008.

Ironisnya, kata beliau, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari dalam.

“Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang berlainan.

“Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu.

“Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam,” kata Najib yang sekali menekankan bahawa teras perjuangan tidak akan berubah, tetapi pendekatan parti membawa kepentingan orang Melayu dan semua kaum di negara ini adalah penting.

Perdana Menteri menamakan kepimpinan Umno “satu tanggungjawab moral dalam pengurusan kaum” ketika Umno dan BN berhadapan dengan serangan berterusan Pakatan Rakyat.

Dalam ulasannya, Saifuddin juga mengakui Najib mengharapkan input dan pandangan perwakilan Umno tentang model politik baru ini.

Sivamurugan juga menjangkakan kemungkinan Najib akan memperincikan model sepenuhnya pada akhir Perhimpunan Agung Umno Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List 1

My Blog List 3