bumiyang toolbars

Get our toolbar!

Rakan Bumiyang;

Herba Ajaib

27 Oct 2010

PRK Galas: Disebalik Cakap-cakap Ku Li Merajuk, Beliau Sebaliknya Bekerja Keras Turun ke Padang!!!

Ku Li utamakan kempen sederhana hadapi saingan PAS di Galas

October 27, 2010
Tengku Razaleigh Hamzah ketika bertemu pengundi Galas di salah sebuah restoran malam. — Gambar oleh Choo Choy May

GUA MUSANG, 27 Okt — Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) menafikan beliau tidak memperlihatkan peranan menonjol dalam menghadapi persaingan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang bermula semalam.

Pengundian akan berlangsung 4 November. Sehubungan itu, Ahli Parlimen Gua Musang ini berkata, beliau mahu lebih mengutamakan “persaingan mesra” memandangkan keputusan pilihan raya kecil ini tidak akan membawa sebarang kesan ke atas kedudukan kerajaan negeri pimpinan PAS sekarang.

“Saya merasakan kita perlu mengubah cara kita berkempen. Meskipun ini adalah pilihan raya yang sangat penting, tetapi bagi PAS mereka mempunyai majoriti yang secukupnya (di DUN), lebih dua pertiga. Ia bonus jika mereka menang,” kata Tengku Razaleigh ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke sebuah restoran di sini malam tadi.

“Bagi kami jika menang, ia tidak akan mengubah kedudukan dalam pentadbiran Kelantan. “Bagaimanapun bagi saya adalah penting bagi semua wakil yang dipilih dalam bahagian ini berada di bawah lambang (BN) yang sama,” kata beliau merujuk kepada kedudukan kerusi DUN Galas di bawah PAS. Dua lagi DUN terletak dalam penguasaan BN bersama kerusi Parlimen Gua Musang yang disandang Tengku Razaleigh sejak 1969.

“Ini persaingan mesra,” kata beliau yang mesra dikenali “Ku Li”. Kerusi DUN Nenggiri dan Paloh dimenangi oleh BN dengan majoriti 2,090 dan 2,833 undi.

Pada 8 Mac 2008, Pakatan Rakyat yang dianggotai DAP, PKR dan PAS menguasai 39 daripada 45 kerusi dan bakinya oleh BN. Dalam pertemuan malam tadi, Tengku Razaleigh juga menolak cakap-cakap bahawa beliau mengambil “langkah ke belakang” dalam menerajui jentera kempen pilihan raya kecil di Galas sekarang.

Kata Tengku Razaleigh, bukan salah bagi beliau tidak mengiringi calon BN Abdul Aziz Yusoff ke pusat penamaan calon semalam. “Saya tidak biasa ke pejabat daerah, di mana kertas penamaan calon difailkan. Kebanyakan kawan saya bersama calon ketika mengemukakan borang penamaan calon.

“Jadi lebih baik saya berada di luar bersama penyokong yang datang dari seluruh negara,” kata bekas naib presiden Umno ini. Semalam, ketika proses penamaan calon beliau tidak mengiringi calon ke dalam kawasan penamaan calon, sebaliknya beliau bergaul di luar pusat tersebut.

Tengku Razaleigh juga yakin dengan Aziz kerana beliau sendiri seratus peratus menyokong beliau. Aziz yang merupakan Setiausaha Umno Gua Musang berhadapan dengan saingan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

“Beliau (Aziz) dipilih oleh ahli jawatankuasa Umno bahagian, apabila nama dibincangkan beliau mendapat undi terbanyak. Jadi, nama dia dikemukakan kepada Datuk Seri Najib,” kata beliau.

Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengarah jentera pilihan raya BN di sebalik cakap-cakap bahawa beliau akan menyokong PAS. Bekas pengerusi Petronas ini menyokong tuntutan pembayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri oleh pusat. PAS memfailkan kes di mahkamah 30 Ogos lalu.

Difahamkan beliau mendapat jaminan daripada pemimpin-pemimpin Umno bahawa tidak akan terlibat dalam kempen negatif dan memastikan ketidakhadiran Perkasa, pertubuhan bukan kerajaan pembela hak orang Melayu, dalam kempen pilihan raya kecil ini.

Tengku Razaleigh berkata, pemain-pemain utama pilihan raya kecil ini adalah ahli-ahli akar umbi Umno yang turun untuk mendapatkan sokongan pengundi di kesemua 13 daerah mengundi. Tengku Razaleigh juga menambah, beliau tidak berminat untuk mengadakan perhimpunan-perhimpunan umum untuk mencari sokongan rakyat.

“Kami tidak mahu menggalakkan perhimpunan umum kerana ia akan menjejaskan aturan kerja di daerah-daerah mengundi. Kami mahu mengekalkan sumber manusia di daerah-daerah mengundi yang mereka ditugaskan,” kata beliau. “Meskipun saya pengarah pilihan raya, saya juga seorang gurkha, yang akan bekerja di kawasan daerah mengundi,” katanya.

Berbanding pilihan raya-pilihan raya sebelum ini, kata beliau, kempen akan dijalankan secara bebas di daerah-daerah mengundi dan dikawal sepenuhnya oleh bahagian. Kata Tengku Razaleigh, beliau telah menurunkan tugasan kepada pemimpin di peringkat daerah mengundi agar kuasa tidak bertumpu di peringkat bahagian.

“Ia seharusnya begini kerana kesemua aktiviti harus dijalankan di daerah mengundi dengan anggota, cawangan, dan setiap yang lain kekal di peringkat daerah (mengundi),” katanya. “Yang lain boleh datang dan membantu termasuk saya. Sebagai contoh malam ini, saya datang untuk bertemu dengan pengundi, jika mereka tiada di sini, saya hanya akan minum kopi,” kata beliau.

Ketua Umno Gua Musang ini juga berkata, kunjungan menteri-menteri pusat juga akan diselaraskan supaya lebih efektif. Meskipun kempennya lebih sederhana, Tengku Razaleigh kekal yakin dengan peluang BN untuk merampas kerusi Galas. “Pekerja-pekerja berada dalam semangat yang tinggi, tidak seperti 2008. Ramai yang datang untuk memotivasikan orang kami,” kata beliau lagi.

No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List 1

My Blog List 3