KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini menyeru semua pemimpin di negara ini supaya mencontohi sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sanggup turun ke padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami masalah mereka. Seri Paduka bertitah, sejak tampuk pemerintahan diambil alih oleh Najib, beliau telah berjaya melaksanakaan pelbagai program demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Beta mengucapkan tahniah kepada Mamanda Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menterinya kerana sejak 11 bulan yang lalu, kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri telah berjaya melaksanakan pelbagai program demi meningkatkan kesejahteraan rakyat. "Para pemimpin hendaklah mencontohi Mamanda Perdana Menteri dengan turun padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami dengan lebih dekat akan masalah mereka dan jalinkan hubungan yang rapat dengan rakyat di semua peringkat," titah baginda semasa merasmikan penggal ketiga Parlimen ke-12 di sini.
Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat itu.Ini merupakan kali pertama Tuanku Mizan menyampaikan titah sejak Najib menjadi Perdana Menteri keenam. Seri Paduka bertitah baginda menyambut baik gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan - yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.
"Kerajaan Beta telah menetapkan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA yang perlu dicapai iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menambah baik pengangkutan awam, memerangi rasuah, mengurangkan kadar jenayah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah," titah baginda.
Tuanku Mizan turut menyifatkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan pada 28 Januari lepas sebagai satu program yang berani. "Beta sukacita rakyat menyambut baik akan komitmen-komitmen kerajaan tersebut. "Rakyat hendaklah berganding bahu bersama-sama kerajaan Beta agar Program Transformasi Kerajaan berjaya dilaksanakan," titah baginda. - BERNAMA
Komen Isac;
Tak payah nak cakap banyak-banyaklah...Maksudnya SPB Yang Dipertuan Agong, mahukan rakyaat menyokong kerajaan pimpinan DSN. Baginda secara langsung telah mengakui bahawa DSN adalah pemimpin yang sepatutnya diterima dan disokong oleh sekalian rakyaat negara ini.
No comments:
Post a Comment
Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.