Sekali lagi artikel saya dalam Mingguan Malaysia mendapat perhatian yang serius daripada akhbar-akhbar Cina seperti China Press, Sin Chew, Nanyang Siang Pau dan beberapa laman web pembangkang. Kali ini mereka mengambil beberapa bahagian tertentu dengan ada tujuan yang tersembunyi dengan menyiarkannya di muka hadapan sebagai berita utama (Nanyang Siang Pau). Beberapa isu dimanipulasi untuk menagih simpati. Terima kasih saya ucapkan. Nasib baik saya tidak melayan panggilan demi panggilan yang ajukan itu. Jika tidak, saya tidak tahu, apa lagi kenyataan saya yang akan diputarbelitkan.
Mereka turut bertanya, adakah saya dipaksa atau diupah oleh Utusan Melayu atau UMNO untuk menulis artikel ini. Saya jawab tidak. Saya sudahpun jawab dalam artikel minggu lepas. Saya tidak pasti mereka faham atau tidak tulisan saya dalam bahasa Melayu. Tulisan dan idea ini datang dari hati naluri seorang rakyat berbangsa Cina kerdil, yang amat ingin melihat umat Islam sedar, di manakah kedudukan kita sebenarnya. Malangnya, hanya kerana artikel saya diterbitkan dalam Mingguan Malaysia, marahnya begitu meluap-luap sehingga emosi menguasai diri. Saya dituduh tali barut UMNO. Inilah mentaliti kelas ketiga yang sukar diubah akibat ketaksuban. Komen-komen ini langsung tidak menunjukkan kematangan dan hanya mempamerkan kebodohan diri sendiri. Inilah golongan tidak bersyukur dan ultra kiasu yang masih tidak sedar diri.
Mereka bertanya lagi, adakah saya perlu meminta maaf kepada keluarga mendiang, saya kata tidak perlu, sama sekali tidak. Jika mereka faham betul-betul bahasa Melayu, saya tidak nampak satu pun para artikel saya berniat jahat kepada keluarga mendiang, kecuali niat jahat sebenar akhbar Cina, DAP dan laman web tersebut yang sengaja memutar-belitkan isu ini menjadi perkauman untuk mencari simpati dan publisiti murahan. Siapakah yang sepatutnya meminta maaf, saya atau akhbar dan laman web rasis ini?
Saya dituduh tidak pandai menulis artikel oleh akhbar Nanyang Siang Pau. Justeru, saya pohon kepada editor Nanyang Siang Pau, sila beri tunjuk ajar. Saya juga mahu tahu betapa pandai akhbar-akhbar Cina ini menulis berita dan artikel dalam menjaga kepentingan semua kaum.
Alhamdulillah, dengan peristiwa dan artikel ini, saya lebih mengenali sifat ultra kiasu bangsa saya sendiri yang selama ini saya kaji. Saya baru sedar betapa hipokritnya segelintir bangsa saya. Mereka tidak pernah bersyukur tetapi teramat takut kalah dan mahu sentiasa menang (kiasu). Fakta dan kebenaran dikelirukan bagi menagih simpati dan agenda politik tersembunyi.
Ini budaya yang telah melingkungi pemikiran mereka walaupun kita sudah merdeka 52 tahun. Pemikiran mereka masih tidak merdeka, masih dikongkong oleh ketaksuban terhadap bangsa. Mereka menuduh UMNO rasis, mereka apa kurangnya. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.
Mereka begitu pandai berpolitik. Mengambil kesempatan di atas kelemahan dan perpecahan Melayu. Jika Melayu Islam bersatu, saya tidak yakin, mereka seberani ini. Keberanian mereka disebabkan ada segelintir orang Melayu bersama mereka. Ini yang menjadikan mereka semakin besar kepala seperti kaduk naik junjung.
Saya rela menjadi tidak popular di kalangan masyarakat saya sendiri, tetapi bangunlah wahai umatku, jangan lagi kita dipermainkan oleh mereka yang licik ini. Lain di luar, lain di dalam. Saya kena bercakap kerana orang Melayu/Islam tidak berani bercakap kerana takut kehilangan kuasa politik. Saya rela dikutuk dicerca dan dihina oleh bangsa sendiri, tetapi saya tidak sanggup melihat Islam merempat di bumi sendiri. Perjuangan kita tidak pernah selesai selagi hayat dikandung badan.
Kepada para pembaca, nilaikanlah idea yang dilontarkan. Jangan hanya kerana artikel ini disiarkan dalam Mingguan Malaysia, kita sudah tidak nampak yang benar, yang mana salah. Saya bukan penulis upahan UMNO atau Mingguan Malaysia. Saya hanya mengatakan yang benar dan tidak ada niat langsung untuk melukakan mana-mana pihak yang hidup mahupun yang telah pergi. Saya bertanggungjawab sepenuhnya apa yang ditulis.
Saya cuma mengingatkan kita agar jangan menjadi seperti kaduk naik junjung. Jagalah hati lain sama terutama hati orang Islam (Melayu) yang banyak bertolak ansur dengan kita. Mereka juga ramai yang menghadapi masalah yang sama seperti apa yang berlaku. Adakah kita mahukan kes ini menjadi precedent, yang akan menghalalkan segala perlakuan sumbang selepas ini?
Sedarkah kita berapa ramai anak luar nikah yang telah lahir daripada hubungan yang tidak sah ini? Apakah kita mahukan ia menjadi budaya hidup kita. Apakah tujuan perkahwinan sebenarnya? Apa tujuan ada akta dan undang-undang undang-undang keluarga, perkahwinan, nikah cerai dan sebagainya diwujudkan? Jika perbuatan sumbang ini hendak dihalalkan maka tidak perlulah ada semua undang-undang dan akta ini? Apakah ini bukan rule of law?
Saya dituduh kerana cuba memasuki unsur-unsur agama dalam isu ini. Tidakkah unsur-unsur agama ini menjadi sebahagian daripada rule of law? Mereka mengatakan bahawa negara ini harus ditadbirkan rule of law. Persoalan saya, adakah undang-undang dan akta ini bukan rule of law. Apa guna kewujudan Jabatan Pendaftaran Negara jika hidup berkeluarga tidak perlu disahkan. Sila rujuk undang-undang Jabatan Pendaftaran Negara, bahagian keluarga, perkahwinan, nikah dan cerai. Sila baca akta nikah dan cerai 1976 dan akta kelahiran dan kematian 1975.
Untuk mengetahui lebih lanjut isu yang dikatakan sensitif ini dan juga rule of law, sila rujuk http://www.malaysianbar.org.my/marriage.html. Bagi mendapatkan makna anak sah taraf dan anak tidak sah taraf, rujuk Undang-undang negara dalam Akta 60, Legitimacy Act 1961, juga akta Jabatan Pendaftaran Negara, http://www.jpn.gov.my/BI/4_2_kelahiran.php.
Lihat juga, http://www.thefreedictionary.com/illegitimate+child. Baca juga Non-Muslim Family Law dalam, http://www.reunite.org/edit/files/Islamic%20Resource/Malaysia%20text.pdf.
Manakala dari segi hak-hak penjagaan anak-anak tidak sah taraf ini pula, sila rujuk http://www.johorebar.org.my/CustodyGuardianship.html. Adakah ini bukan rule of Law. Saya hanya memberikan beberapa pandangan agama yang menjadi rule of law, maka saya akan dituduh kolot dan ekstremis.
Memperjuangkan
Kes yang sama berlaku di Pulau Pinang dan Shah Alam, Selangor baru-baru ini, apabila mereka yang memperjuangkan undang-undang syariah di negeri sendiri, dituduh oleh DAP sebagai pelampau atau ekstremis. Jemaah Islam Malaysia (JIM), sebuah pertubuhan moderat Islam, dituduhkan oleh ahli Parlimen Jelutung DAP, Jeff Ooi sebagai ekstremis atau pelampau. Manakala tindakan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang merampas arak yang dijual di salah sebuah premis perniagaan di Shah Alam, yakni kawasan majoriti umat Islam, dihalang oleh Ronnie Liu, Exco Kerajaan Tempatan Selangor.
Saya masih ingat amanat Tunku Abdul Rahman mengenai pandangannya terhadap Bandaraya Shah Alam. Tunku pernah berpesan agar Shah Alam mesti bebas daripada arak dan kelab malam. Jika orang lain mahu melakukan perbuatan haram ini, mereka boleh pergi ke Kuala Lumpur, minumlah arak dan kunjungilah kelab malam sehingga tidak sedar diri kerana mungkin agama mereka membenarkan. Jika ditakdirkan Buddha dan Nabi Isa hidup hingga ke hari ini, rasa fikir tindakan manusia pelampau DAP sebegini akan dicela dan dikutuk.
Sejak memenangi banyak kerusi dalam PRU 12, DAP ternyata semakin biadab dan kurang ajar kerana turut campurtangan dalam hal-ehwal agama Islam yang menjadi agama persekutuan. Apakah hak parti politik ekstremis ini untuk campur tangan dalam undang-undang syariah negeri dan hal-ehwal Islam? Tidakkah mereka sedar bahawa Malaysia telah diisytihar sebagai sebuah Negara Islam walaupun ditentang hebat oleh mereka sebelum ini?
Tindakan DAP ini teramat-amat menghiris perasaan umat Islam. Saya juga mahu melihat apakah akhbar-akhbar Cina akan memaparkan berita ini di muka hadapan dan mendesak DAP meminta maaf kepada seluruh umat Islam seperti yang dilakukan terhadap artikel yang saya tulis? Kalau artikel yang saya ditulis diapi-apikan setiap hari, perkara yang sama hendaklah dilakukan oleh akhbar ultra kiasu ini, kerana tindakan DAP ini sudah mencabar kesucian dan kedaulatan kedudukan agama Islam yang termaktub dalam perlembagaan. Tindakan DAP ini bukan sahaja tidak sensitif, malahan dilihat cuba menghina dan merendah-rendah martabat agama Islam.
Persoalannya, adakah mereka akan meminta maaf? Apakah Pemuda DAP atau DAPSY akan mengeluarkan kenyataan yang sama seperti mana mereka memaksa saya meminta maaf? Ini yang selalu saya katakan, bila saya menulis perkara menyebelahi Islam Melayu, saya dituduh tidak sensitif dan dipaksa meminta maaf. Adakah DAP begitu sensitif? Inilah yang saya katakan nasib Melayu di bumi Melayu. Bila isu berkaitan bangsa Cina, akhbar-akhbar Cina mensensasikan isu tersebut, bila berkaitan dengan Islam, senyap sepi dan dianggap tidak penting.
Justeru, saya minta parti-parti politik Cina dan akhbar-akhbar Cina mesti memaksa Jeff Ooi dan Ronnie Liu minta maaf secara terbuka kepada umat Islam. Perkara berkaitan dengan Islam tidak boleh dipermain-mainkan. Apatah lagi jika matlamat hendak menghalalkan cara. ISA amat relevan untuk orang seperti ini.
DAP cuba menarik perhatian orang Cina untuk menghalalkan arak yang secara terangan diharamkan oleh Buddha, yang kini telah menjadi budaya hidup mereka, sama seperti hubungan seks luar nikah. Manakala PAS tetap dengan pendirian mengharamkan arak sebagaimana yang disebut dalam al-Quran. PKR belum lagi membuat keputusan kerana cuba memenangi hati kedua belah pihak untuk mengekalkan kedudukan.
Saya ingin mengingatkan PAS supaya berhati-hati dengan DAP dan parti yang sekutu dengannya. Parti DAP sudah terkenal dengan sikap ultra kiasu sejak penubuhannya lagi selepas PAP. Mereka mahu menjadi negara ini negara sekular, tanpa identiti Islam mahupun Melayu. Sebarang percubaan untuk mengislamkan atau memelayukan identiti negara ini akan ditentang habis-habis malah Karpal pernah berkata langkah mayat beliau dulu jika PAS berniat untuk menegakkan Negara Islam.
Saya amat berharap PAS mengkaji balik pakatan mereka dengan puak ekstrem ini. Lebih baik berkawan dan berdakwah dengan UMNO bagi membincangkan agenda memperkasakan Islam dan umat Islam. Biarkan DAP berkawan dengan mereka yang ingin menghalalkan cara. Saya ucapkan tahniah kepada PAS kerana berani bersuara dan mempertahankan yang hak. Ingatlah, selama-lamanya DAP tidak pernah bersetuju dengan Islam.
DAP perlu diingatkan bahawa mereka tidak akan menang banyak kerusi dalam PRU 12 baru-baru ini, tanpa sokongan orang Melayu. Justeru, jangan seperti kaduk naik junjung. Pernahkah sekali kita mendengar DAP meminta maaf apabila mereka menyinggung perasaan orang lain disebabkan oleh keceluparan dan kebiadaban mereka? Sudah tentu tidak. Tetapi apabila tiba giliran orang lain seperti saya, maka melalaklah mereka meminta kita umat Islam meminta maaf. Begitu juga pendirian parti politik Cina yang lain seperti MCA dan Gerakan.
DAP dan orang Cina perlu ingat, Melayu tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Agama Islam dan Melayu ibarat darah dengan daging. Pendek kata, setiap manusia memerlukan agama, sebab agama itu datang daripada Tuhan. Suka atau tidak kita dengan agama, diakhirkan nanti kita tetap kembali kepada agama. Jika tidak, maka tidak perlulah dilakukan upacara kematian mengikut agama.
Tambahan pula, kematian manusia tidak mengenal usia. Kematian boleh datang secara tiba-tiba, bila-bila masa, tidak kira tua atau muda. Cuma kita diminta bersedia untuk mati. Tujuannya, tidak lain agar bila kita pergi nanti, kita telah membuat segala persediaan secukup, termasuk terhadap mereka yang kita tinggalkan agar tidak menderita. Justeru, kita perlu melakukan yang terbaik sepanjang waktu dan ketika.
Kita selalu berhujah untuk mempertahankan keburukan yang telah dilakukan. Misalnya, apa salahnya jika bersekedudukan sebelum nikah, asalkan kita bertanggungjawab selepas itu. Persoalan saya, bagaimana jika selepas itu, si polan mengambil keputusan tidak mahu mengambil tanggungjawab tersebut atau meninggal teman wanitanya secara tiba-tiba? Ada yang hanya sempat berkahwin 10 hari, kemudian bercerai. Siapakah yang akan menjadi mangsa? Sudah tentu wanita. Justeru, bila ada rule of law, nasib wanita akan sentiasa terbela.
Saya mempunyai beberapa kenalan Cina dan Melayu yang telah terlanjur melakukan seks bebas, kemudian ditinggalkan oleh teman lelakinya. Apa akan terjadi dengan anak luar nikah yang dikandung?
Komen Isac;
Saudara seIslam kita Dr. Ridhuan Tee yang berbangsa Tionghua lebih berani mempertahankan "Islam" dan "Melayu" daripada sebahagian daripada kita yang sesetengahnya bukan sahaja "bacul" malah lebih dahsyat lagi lebih rela menjadi "pengkhianat".
Tidakkah ahli-ahli politik pembangkang sedar, dengan menimbulkan isu-isu yang mereka timbulkan telah memberikan ruang yang besar untuk umat Melayu/Islam ditekan dengan begitu hebat seperti sekarang? Apa faedahnya kepada mereka? Adakah atas dasar untuk merebut kuasa, maka setuasi sekarang ini berbaloi? Tidakkah mereka ini mempunyai mata, telinga, hati dan perasaan?
Saranan saya supaya "Melayu/Islam Mesti Bersatu!!!" selalu dipandang sinis oleh sesetengah pihak, kononya saya hendak meminggirkan orang-orang Islam yang bukan Melayu. Sedarkah mereka ini bahawa definasi Melayu mengikut Perlebagaan Malaysia adalah seperti berikut (muka surat 91/159);
"Orang Melayu" ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut
adat Melayu dan—
(a) yang lahir sebelum Hari Merdeka di Persekutuan atau Singapura atau yang lahir sebelum Hari
Merdeka dan ibu atau bapanya telah lahir di Persekutuan atau di Singapura, atau yang pada Hari
Merdeka berdomisil di Persekutuan atau di Singapura; atau
(b) ialah zuriat seseorang yang sedemikian;
(link;http://ipm.upsi.edu.my/web/images/stories/perlembagaan.pdf)
Allahyarham Tengku Abdul Rahman (Mantan Perdana Menteri Yang Pertama) pernah mengatakan bahawa beliau tidak pernah melihat suatu bangsapun di dunia ini yang begitu pemurah seperti orang Melayu/Bumiputera yang sanggup berkongsi negara mereka dengan bangsa asing.
Mana tidaknya jika kaum Ansar yang begitu dibanggakan oleh Baginda Rasullullah s.a.w. kerana sanggup berkongsi harta dan negara dengan kaum Muhajirin (dari Mekah), keduanya adalah berketurunan Arab dan memeluk agama yang sama. Tetapi kita di Malaysia, menerima bangsa-bangsa asing yang juga berlainan agama untuk sama-sama menjadi warga negara di bumi bertuah ini sehingga sanggup menukarkan nama "Semenanjung Tanah Melayu" kepada Malaysia.
Pepatah Inggeris ada mengatakan "I would rather to sleep with a devil that I know rather then an angel that I do not know". Bagi saya Pas sepatutnya menggunakan pendekatan ini. Adalah lebih baik untuk PAS bekerja-sama dengan UMNO yang dianggap sebagai "jahat" kerana dilihat tidak berusaha untuk menegakkan hukum hudud setelah 52 tahun memerintah negara tetapi banyak melaksanakan konsep Islam di dalam pemerintahannya (satu contoh, perbankan Islam yang kini diikuti di seluruh dunia), daripada bekerja-sama dengan DAP yang kononnya kelihatan "baik" oleh PR tetapi secara halus telah menggunakan konsep "telus, merit dan hak sama-rata untuk menindas dan meminggirkan orang Melayu/Islam secara tersusun dan sistematik.
Setiap yang berlaku ada hikmahnya tetapi hanya jika kita ingin melihatnya. Saya harap rentetan peristiwa-peristiwa pasca PRU 12, dapat kita jadikan iktibar dan pedoman. Apalah gunanya menjadi bangsa/agama majoriti di tanahair sendiri jika kita terus dihimpit dan ditekan.
Jika ada lagi pemimpin-pemimpin Melayu yang masih tidak mahu sedar akan "masalah besar" yang sedang kita hadapi ini, marilah sama-sama kita tunjukkan kepada mereka "jalan keluar" daripada dunia politik pada PRU 13 yang akan datang.
Salam,
ReplyDeleteMelayu dari PAS & PKR bukan tidak sedar, tetapi mereka sudah dihanyut oleh nafsu untuk berkuasa.......
Salam Bro,
ReplyDeleteSambil lalu singgah dan pantau. Isu bagus, ulasan baik..teruskan perjuangan membela Agama, bangsa dan Negara ...bumiyang dipijak dan langityang dijunjung ~ bRAVEhEART
Salam,
ReplyDeleteKawan sokong sangat pandangan tuan yang cukup bernas...
Juga kawan ucapkan terima kasih kat Dr Ridhuan Tee akan fikiran terbuka beliau walaupun diserang begitu hebat oleh chauvanis kaumnya...
Melayu sepatutnya berterima kasih kat Dr Ridhuan dan kita semestinya memberikan sokongan padu kepada beliau serta jangan biarkan beliau kesaorangan....
W'salam....
ReplyDeleteBetul Robin kawan betul2 sokong cadangan awak. Melayu/Islam mesti bersatu!!!!