7 Wasiat Raja-raja Melayu - Duli YMM Raja Dr. Nazrin Shah
06/08/2009 5:03pm
Dipetik dari Utusan Online
KUALA LUMPUR 6 Ogos — Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah :-
1)Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
2)Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
3)Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
4)Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;
5)Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;
6)Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;
7)Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN.
(Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Saraak).
Raja Nazrin Shah bertitah demikian semasa melancarkan tiga buku Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsi, sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas yang bermula Selasa lepas di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.
Menurut baginda, wasiat sembilan Raja Melayu terdiri dari empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu, disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.
“Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu,” titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).
Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.
“Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah,” titah baginda.
Mengenai Syed Hussein Alatas, yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 23 Jan 2007, Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Allahyarham sering membangkitkan mengenai kejijikan rasuah, dan dihuraikannya dalam buku tulisan beliau “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi.” “Walaupun ianya kotor dan jijik, ironinya semakin ramai yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya, malah melakukannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas dari undang-undang dan hukum dunia,” titah baginda.
Raja Nazrin Shah bertitah bahawa ramai yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memeranginya ada kalanya bergema lebih nyaring daripada kalangan mereka yang tidak bebas daripada melakukannya.
“Lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan. Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur dan rakyat melarat,” titah baginda.
Baginda bertitah rasuah berlaku di mana-mana termasuk di istana, dalam sektor awam, swasta, organisasi politik, malah dalam badan-badan agama, kerana rasuah merupakan candu yang mengasyikkan dan yang menanggung derita bukan dalam kalangan pengamal dan penerima rasuah.
“Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram,” titah Raja Nazrin Shah.
Menurut baginda, rasuah adalah instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri seseorang insan yang terjebak dengannya.
— BERNAMA
— BERNAMA
Link; http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_18.htm
Komen Isac;
Ketujuh-tujuh wasiat tersebut ada diterjemahkan ke dalam Perlembagaan Negara kita.
Dalam bab rasuah sendiri mau ingatlah.....Cakap banyak-banyak nanti orang marah. Jangan asyik nak "mengata" orang itu rasuah, orang ini rasuah sedangkan "kita" juga melakukannya.
Contoh paling jelas (ini ramai yang buat), bersedia untuk disaman jika kita memandu "laju", jangan kautim dengan polis dan lepas tu mengata polis ambil rasuah. (Memberi & menerima, sama-sama salah)
Kalau tidak mahu kena saman, memandu mengikut had laju. Jika perlu, keluar rumah lebih awal agar kita tidak perlu memandu laju.
Jika berpolitik, jangan demi untuk mendapatkan kuasa, kita kata "lawan" kita tu semuanya tidak boleh dipakai, tidak betul dan semuanya makan rasuah. Sedangkan semasa kita sama-sama di dalam satu "Barisan", kitalah "kepala"nya yang merasuah ahli-ahli kita sehingga nyaris-nyaris kita nak menjadi ketua "Barisan" tersebut.
Mengata orang memang sedap.....dan peringatan ini juga adalah untuk diri saya sendiri.