bumiyang toolbars

Get our toolbar!

Rakan Bumiyang;

Herba Ajaib

7 Jul 2009

Merdekakan Pemikiran Politik Anda Dari Asobiyyah Kepartian (Siri 2)

Dipetik Dari Blog Tajdid Dr. MAZA (Bekas Mufti Perlis)Disiarkan pada Jun 27, 2009Tersiar Di Majalah Al-Islam keluaran Jun 2009 Sambungan Kepada Posting 6hb Julai 2009.
Link; http://drmaza.com/home/?p=650




Ulul Albab

Keadaan ini disebabkan banyak faktor, antaranya kita belum cukup melahirkan tokoh-tokoh pemikir yang mantap, yang berjiwa merdeka tanpa terikat dengan kepentingan diri serta tidak bertaklid buta. Kita perlu membanyakkan kelompok manusia terpelajar yang pemikiran dan penilaian mereka merentasi garisan dan sempadan politik kepartian.

Bahkan kita mahu banyakkan kelompok yang mampu mencetuskan idea yang baik dalam politik di luar dari kotak kepartian. Golongan ‘Ulul Albab’ merupakan kelompok manusia yang dipuji oleh Allah dalam al-Quran. Mereka merupakan kelompok yang memiliki kematangan akal dan penilaian sehingga mereka digelar Ulul Albab dengan maksud empunya pemikiran dan kefahaman yang matang dan mantap.

Allah sebut antara ciri mereka: (maksudnya) (maksudnya) “..oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu . (Iaitu) mereka yang berusaha mendengar perkataan (yang sampaikan) lalu mereka menurut yang terbaik; mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah Ulul Albab” (al-Zumar: 17-18).


Kelompok pemikir yang merdeka dan berhujah ini perlu menyemarak politik idea, bukan politik taksub kepartian. Bukan politik yang bermula dengan bertanya ‘engkau sokong PAS ke, atau UMNO ke, atau PKR ke?. Bukan cetusan politik berdasarkan kehendak ramai. Sebaliknya, pemikiran yang berlandaskan analisa, fakta dan hujah. Seseorang tidak dinamakan tokoh ilmuwan yang matang selagi mana dia di bawah ketulunjuk kepartian tanpa penilaian. Biar sekalipun orang menamakan dia ‘ulamak’ atau ‘professional’.
Allah menyebut: (maksudnya) Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun jumlah banyaknya yang buruk itu telah mengkagumkan engkau. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai Ulul Albab supaya kamu berjaya (Surah al-Maidah: 100).

Politik Merdeka

Kita mesti berusaha memerdekakan jiwa rakyat dari belenggu kepartian. Dalam negara yang memakai sistem seperti kita, parti politik itu mungkin penting. Namun ia bukan matlamat, ia hanya alat yang boleh ditukar-ganti jika perlu. Hubungan dan penilaian kita ke atas pihak lain, janganlah berdasarkan parti atau mazhabnya.

Sebaliknya, hendaklah berdasarkan akhlak dan pemikiran. Kelompok fanatik parti sering melenting jika melihat seseorang tokoh duduk atau berkawan dengan musuh parti mereka. Lalu kadang-kala seseorang dimusuhi tanpa sebab yang jelas. Mereka selalu melenting jika ada orang yang berbeza pendapat dengan parti mereka. Sering mereka menghukum pengkritik mereka bersekongkol dengan musuh politik mereka. Mereka enggan mengiktiraf pemikiran atau idea yang baik hanya disebabkan perbezaan parti. Parti kadang-kala bagaikan agama bagi mereka. Bahkan mungkin lebih daripada agama sehingga mereka sanggup berkasih-sayang dengan yang berbeza agama, tetapi tidak dengan yang berbeza parti.

Sedangkan Allah menyebut: (maksudnya):“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-hak mereka" (Surah Hud: 85).

Selagi kita tidak merdekakan pemikiran politik kita sehingga tidak terikat dalam setiap penilaian dengan warna parti, maka bererti kegagalan melaksanakan perintah Allah dalam ayat-ayat yang disebutkan tadi dan juga ayat 36 dalam Surah al-Isra :

(maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Tokoh-tokoh ilmuwan yang kritis dalam sejarah, berjaya membebaskan diri mereka dari taksub kemazhaban dalam menilai sesuatu perkara.

Contohnya, Al-Imam al-Zahabi (meninggal 748H) ketika mengulas status riwayat mereka yang terpengaruh dengan unsur-unsur tasyaiyu’ (kesyiahan), katanya: “Sesungguhnya bid‘ah ada dua bahagian; (pertama) bid‘ah kecil; seperti berlebihan dalam tasyaiyu’ (mengutamakan ‘Ali) , atau bertasyaiyu’ tanpa melampau dan menyimpang. Hal ini banyak berlaku kalangan tabi‘iin dan atba’ al-tabi‘iin (pengikut tabi’iin).
Di samping mereka juga kuat beragama, warak dan benar. Jika ditolak riwayat mereka (disebabkan hal ini), nescaya akan hilanglah sejumlah besar hadis-hadis nabawi. Ini satu kerosakan yang nyata.” (Al-Zahabi, Mizan al-I’itidal fi Naqd al-Rijal, 1/118, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Inilah sikap adil yang tidak menghukum manusia hanya disebabkan perbezaan mazhab akidah. Bagaimana mungkin untuk kita menolak sesuatu pendapat atau idea hanya disebabkan perbezaan politik.

Selagi kita tidak dapat membebaskan atau memerdekakan minda dari kongkongan ketaksuban parti politik, atau hanya mampu berfikir dengan kadar jarak rantai politik kepartian yang dibelunggu di kaki kita, bererti cara fikir kita masih tidak Quranik atau Islamik sekalipun kita memakai logo atau pakaian yang dikaitkan dengan Islam.
Komen Isac;
Kita sebagai umat Islam tidak perlukan kepada Asobiayyah Kepartian!!!! Setiap dari kita sedikit sebanyak tahu pasal agama, kita boleh menimbang yang mana baik dan yang mana buruk.
Kita juga boleh mengambil iktibar dari sejarah. Janganlah apabila sesuatu kumpulan atau parti itu mendakwa bahawa mereka mahu menegakkan Islam maka kita dengan sewenang2nya menyokong dan mempertahankan mereka dan "sekutu" mereka berhabis2an.
Gunakanlan kewarasan akal fikiran kita untuk mengkajinya, sebelum mengambil sesuatu keputusan. Pandangan peribadi saya, dalam keadaan sekarang kita perlu memihak kepada parti yang dilihat terbaik. Dalam masa yang sama sudah tentulah "Perpaduan Umat Melayu/Islam" perlu diutamakan.
Telah banyak contoh samada di seluruh dunia maupun di negara2 jiran kita, jika kuasa politik tidak dimiliki oleh orang Islam maka bencanalah padahnya. Jestru itu Umat Melayu/Islam mestilah bersatu agar kita kuat dan tidak mudah untuk diperkotak-katikkan. Jika menegakkan "Negara Islam" itu wajib hukumnya maka mempertahankan maruah Agama, Bangsa dan Tanahair juga wajib hukumnya.
Ambillah iktibar dari sejarah para sahabat, bahawasanya sejarah telah seakan2 berulang, kenalilah siapa golongan "Ali", "Muawiyyah" dan "Khawarij".
Walaupun nampaknya mustahil, siapa tahu kita akan dapat satukan ketiga2 golongan ini demi memertabatkan Agama dan Bangsa.
Saya pinjam kata2 Dr. MAZA, "Selagi kita tidak dapat membebaskan atau memerdekakan minda dari kongkongan ketaksuban parti politik, atau hanya mampu berfikir dengan kadar jarak rantai politik kepartian yang dibelunggu di kaki kita, bererti cara kita berfikir masih tidak Quranik atau Islamik sekalipun kita memakai logo atau pakaian atau "berpartikan parti" yang dikaitkan dengan Islam".
Jestru itu saya menyeru semua parti2 politik supaya janganlah memainkan sesuatu isu itu sehingga melampau2 hingga akan mengakibatkan api kebencian yang membuak2 dan tidak dapat dibendung seperti sekarang. Ingatlah bahawa kita semua adalah bangsa Malaysia dan untuk berjaya kita semua mesti bersatu.
Melayu/Islam Mesti Bersatu!!!!

No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List 1

My Blog List 3