bumiyang toolbars

Get our toolbar!

Rakan Bumiyang;

Herba Ajaib

5 Jul 2009

Antara Tersurat dan Tersirat FIC - Dari Sudut Ekonomi & Politik


Dipetik Dari UtusanOnline 4 Julai 2009

PENGUMUMAN Selasa, 30hb Jun lepas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang tidak perlu lagi syarikat yang ingin disenaraikan memperuntukkan 30 peratus sahamnya kepada Bumiputera menunjukkan ketidakberkesanan sesuatu peraturan.

Sejak 1970 Jawatankuasa Pelaburan Asing diberi tanggungjawab untuk memastikan hak milik Bumiputera dalam ekuiti syarikat. Malangnya selepas 39 tahun hanya 19.4 peratus sahaja daripada sasaran 30 peratus yang tercapai.

Walaupun ini suatu kejayaan jika dibandingkan dengan 2 peratus hak milik Bumiputera dalam tahun 1970, banyak kelemahan terdapat dalam pelaksanaan pencapaian dasar tersebut.

Kelemahan-kelemahan seperti saham diperolehi oleh golongan tertentu sahaja yang tanpa modal sendiri meminjam daripada bank dan menjual di hari penyenaraian saham syarikat. Dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an sememangnya pasaran saham yang rancak memberikan pulangan yang lumayan kepada mereka yang beruntung mendapat peruntukkan saham.
Lazimnya golongan ini terdiri daripada mereka yang ada hubungan politik (political connection) sehinggakan pada suatu masa seorang pemimpin wanita tempatan pernah mengeluh, "Alahai saya dah tak tahu nak buat macam mana, selalu sangat saya dapat peruntukkan saham ini."
Bayangkan beliau mengeluh kerana dapat berkali-kali, orang lain mengeluh kerana tidak dapat langsung. Mereka yang mencuba nasib dengan undian yang dibuat sewaktu memohon samalah dengan mereka yang membeli nombor empat ekor.

Ada nasib dapat tak, ada nasib tak dapat. Ada juga di kalangan mereka yang lebih berusaha masuk ke kampung mengambil salinan kad pengenalan orang kampung untuk digunakan menambahkan bilangan permohonan sesuatu terbitan saham supaya peluang untuk terundi lebih tinggi.

Orang kampung yang tidak tahu hujung pangkal diberikan RM20 sudah seronok sedangkan mereka yang berjaya memperolehi kadang-kadang RM2,000 untuk sesuatu borang yang berjaya.
Masalah utama dasar tersebut walaupun berniat baik ialah tidak ada pegangan lama saham yang diberikan. Ini disebabkan mereka yang diberikan peruntukkan sesetengahnya tidak bermodal dan hanya berharapkan pinjaman bank.

Di tahun-tahun 1990-an pernah menyaksikan saham syarikat papan kedua misalnya melonjak kepada RM10 pada hari pertama sedangkan harga terbitan ialah RM2.50. Bayangkanlah keuntungan yang diperolehi oleh mereka yang diberikan peruntukkan.Pada masa itu pihak berkuasa menentukan harga terbitan saham bukan pasaran. Keadaan agak berbeza apabila undang-undang diubah kepada pasaran menentukan harga terbitan.

Hak milik sahaja tidak mencukupi untuk mencapai hasrat Dasar Ekonomi Baru. Mereka yang mengambil jalan singkat menjadi rakan kongsi secara rakan tidur sahaja memberikan nama yang buruk kepada golongan Bumiputera.

Mereka tidak 'kuasa' untuk mendapatkan pengalaman dan kemahiran hanya menjual nama kepada mereka yang terdesak untuk memenuhi syarat yang diperlukan. Ini dengan sendirinya meletakkan daya saing negara di kerusi belakang dan negara-negara yang sama kedudukannya dengan kita pada suatu masa dahulu seperti Taiwan dan Korea Selatan telah jauh meninggalkan kita.

Orang Melayu yang berkebolehan pun ramai yang meninggalkan kita dan mencuba nasib di tempat orang.

Mereka yang tidak diberikan sebarang bantuan oleh mana-mana pihak seperti di Silicon Valley jelas berjaya. Begitu juga mereka di lain-lain rantau di Amerika, Britain dan Eropah. Rakan saya yang kecewa kerana cinta merantau ke Itali dan kini memiliki perniagaan peralatan industri di Milan.
Begitu juga dengan bangsa lain yang merantau seperti Cina daripada negara China, India pergi ke Britain dan Afrika. Mereka begitu berjaya. Apa yang boleh diteladani dengan semua kejayaan ini ialah tanpa sebarang bantuan, manusia akan berusaha lebih gigih dan kelangsungan hidup merupakan matlamat penting.
Di sini kita kerap melaungkan hak kita dalam ini dan itu, tetapi ada yang mengambil jalan singkat untuk kaya. Lama-kelamaan orang akan jadi jauh lebih pandai daripada kita. Akan sampai suatu titik penentuan yang menunjukkan betapa ke belakangnya kita dengan bangsa lain di negara ini.

Dulu memang kita boleh bermegah dengan kuasa politik kita, tapi bolehkah kita mengatakan perkara yang sama hari ini? Kalau kuasa ekonomi di tangan orang lain dan kuasa politik sudah mula goncang, ke mana hala tuju kita? Kalau negara kita tidak membangkitkan semangat kita untuk berdaya saing, apakah individu-individu Melayu yang kaya raya akan melakukan demikian? Segelintir sangat. Mungkin dua peratus daripada ramai yang telah menikmati limpah ruah daripada Rancangan Malaya Pertama sehingga Rancangan Malaysia Kesembilan.

Pendokong sebarang dasar kerajaan ialah anggota perkhidmatan awamnya dan pembabitan rakyatnya. Kita lihat negara-negara yang berdaya saing tidak mempunyai sumber alam yang mewah seperti kita. Kekuatan mereka ialah sumber manusia yang mereka miliki seperti orang Jepun yang berjaya menakluk dunia hanya dalam 30 tahun selepas mereka dibom di Hiroshima dan Nagasaki.
Bagi kita, melonjakkan tangga daya saing lebih tinggi (kita pernah duduk di tangga ke-16 pada 2004, kini 21) memerlukan pelbagai anjakan minda. Kesungguhan untuk menambah ilmu dan pengetahuan adalah satu daripadanya.
Dunia hari ini bergerak begitu pantas dan maklumat menjadi basi dengan begitu cepat. Mereka yang berkuasa adalah mereka yang memiliki maklumat yang mutakhir. Segala-galanya adalah dalam bentuk masa sebenar.

Lihat sahaja ciptaan-ciptaan hari ini seperti bilionair termuda Mark Zuckergerb pencipta Facebook dan Jack Dorsy pencipta Twitter. Betapa kreatif mereka sehinggakan CNN terpaksa mengaku kalah dengan Twitter. Begitu juga Steve Jobs dengan I-Phonenya.

Berita dia kembali selepas enam bulan berehat, sudah cukup untuk melonjakkan saham Apple.

Kita meletakkan harapan kepada Ekuinas untuk memberikan pernafasan kepada syarikat Bumiputera yang betul-betul sahih dan bukan diperalatkan oleh orang lain. Ketiadaan modal dan minat yang tinggi boleh mendorong seseorang menjual maruahnya.

Kita mengharapkan faktor penilaian yang digunakan adil dan telus dan mereka yang diberi tanggungjawab untuk memilih yang layak diberikan suntikan berpengalaman dan tidak boleh dirasuah. Integriti mereka mestilah sewajarnya tidak boleh dipersoalkan.
Dato' Salleh Majid ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).
Komen Isac;

Secara zahirnya memang kita nampak penghapusan hakmilikan 30% Melayu/Bumiputera untuk syarikat baru di Malaysia nampak sebagai merugikan Melayu/Bumiputera. Tetapi apa yang tersirat ialah kini penyenarian IPO ataupun saham2 baru telah tidak sebagus dahulu dan kebanyakannya mengalami kerugian.
Sebagai contohnya untuk kaunter Vistalux jika sesiapa yang membeli pada harga belian (sebelum penyenaraian) dengan harga RM 0.75, pada hari pertama penyenaraian harganya telah jatuh kepada RM 0.58 iaitu turun RM 0.17 setiap unit ataupun kerugian RM 170.00 bagi setiap 1000 unit. Kini IPO bukan lagi "ayam yang bertelur emas" untuk sesetengah orang Melayu/Bumiputera. Bayangkan jika anda membeli lebih banyak dan berhutang dengan pihak bank kerana anda tidak mempunyai modal.
Anda bukan sahaja akan kerugian perbezaan harga belian/jualan tetapi anda juga perlu membayar faedah kepada pihak bank. Dalam keadaan sekarang jika kita betul2 hendak membeli mana2 kaunter yang baru hendak disenaraikan di BSKL adalah lebih elok jika kita membelinya selepas penyenaraiannya. Tiada lagi kelebihan untuk sesiapa yang memiliki "pink form" maupun orang Melayu/Bumiputera.

Berikut saya sertakan "Harga 10 IPO" terakhir yang dipetik dari The Star Online. Sila Rujuk Link; http://biz.thestar.com.my/marketwatch/ipo/



9/10 IPO tersebut mengalami kerugian pada hari pertama kaunter2 tersebut diniagakan dan hanya satu yang di senaraikan pada harga yang sama dengan harga jualan. Untuk TMI (Telekom Malaysia International) harganya kini diniagakan pada harga sekitar RM 2.40 sahaja berbanding harga penyenaraianya RM 8.05.
Melihat kepada perkembangan tersebut saya kira tindakan kerajaan untuk melupuskan kuota 30% IPO untuk orang Melayu/Bumiputera adalah tepat. Siapa tahu dengan penghapusan ini akan dapat mengubah fenomena tersebut dan negara akan menjadi lebih berdaya saing.
Kerajaan Umno/BN juga akan dapat faedahnya sekali kerana ianya akan dilihat tidak lagi "memenangkan orang Melayu/Bumiputera" sahaja. Walhal hakikat yang sebenarnya sistem itu telah lapuk dek zaman dan sememangnya telah tidak menguntungkan orang Melayu/Bumiputera.





No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List 1

My Blog List 3