BAPA saya namanya Mat Jahya bin Hussin. Ibu saya Naimah binti Jaafar. Jelas Melayu kedua-duanya. Sementara itu walaupun saya dinamakan sempena sebuah kitab agung karya Al Hafiz Ibnu Hajar (w.852H) iaitu Fathul Bari Syarh Shahih al-Bukhari, kemudian saya telah menyambung pengajian di Madinah dan kemudian ke Jordan; saya berguru dengan puluhan ulama Islam, sering mengenakan jubah, berjanggut, memakai kopiah, membaca kitab-kitab tulisan Arab dan boleh berbahasa Arab; itu tidak menjadikan saya sebagai Bangsa Islam. Malah wujudkah istilah Bangsa Islam?
Fathul Bari Bin Mat Jahya tetap Melayu walaupun saya melakukan pembedahan plastik!
Lantas apakah perasaan saya untuk mencintai bangsa saya, upaya membantu bangsa ini agar maju dan berjaya, menyedarkan kaum saya yang terlupa, mempertahankan hak mereka sebagai empunya tanah pusaka; segala usaha saya ini dikatakan sebagai asabiah?
Sekiranya apa yang saya usahakan ini dikatakan haram dan berdosa, bawakanlah dalilnya. Persoalan yang ingin ditanya adalah: Apakah mencintai bangsa sendiri itu haram? Apakah berusaha untuk memajukan bangsa sendiri itu keji? Apakah mempertahankan harta pusaka bangsa sendiri itu sebuah dosa?
Kalam Allah atau hadis mana yang dijadikan sandaran untuk mengharamkan perbuatan ini? Atau orang yang mengharamkannya hanya sekadar membawa ayat al-Quran secara umum tetapi dipusingkan maknanya agar bersesuaian dengan selera mereka?
Sekiranya semua itu haram, kenapakah Allah SWT mewujudkan kita dalam rupa dan warna yang berbeza sehingga menamakan sahabat Nabi SAW sebagai Muhajirin dan Ansar di dalam al Quran? Juga sehingga Rasulullah sering menyandarkan nama bangsa kepada para sahabatnya.
Rasulullah SAW bersabda: "Suku Quraisy, Suku Ansar, Muzainah, Juhainah, Aslam, Ghifar dan Asyja'; mereka ialah para penolongku dan tidak ada seorang penolong pun bagi mereka selain Allah dan Rasul-Nya". (riwayat Muslim).
Ironinya para sahabat tidaklah memandang panggilan suku itu sebagai asabiah seperti yang kita fahami hari ini. Makanya apakah kita lebih alim daripada sahabat, dan apakah kita lebih mulia daripada Rasulullah SAW untuk mengelak mencintai suku sendiri?
Rasulullah SAW mencintai Bani Hasyim. Bahkan Rasulullah sendiri berbangga dan mencintai sukunya.
Dalam sebuah hadis sahih, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah memilih daripada Bani Ismail iaitu suku Kinanah dan daripada Bani Kinanah, iaitu suku Quraisy, daripada suku Quraisy, terpilih Bani Hasyim. Dan Allah memilihku daripada Bani Hasyim" (riwayat Muslim).
Apakah Rasulullah SAW asabiah? Lantas Rasulullah menyuruh umat Islam untuk mencintai Bani Hasyim dan Ahlul Bait dengan berkata: "Demi Dzat yang jiwaku ada di tangan-Nya, mereka tidak beriman sehingga mereka mencintai kalian (Bani Hasyim) kerana Allah dan kerana mereka itu (Bani Hasyim) ialah kaum kerabatku."
Apa yang saya tuturkan di atas adalah kecintaan Rasulullah SAW kepada sukunya dan perintah beliau untuk mencintai Ahlul Bait yang beriman. Namun hadis yang akan saya nukilkan di bawah, sekali pandang seperti Rasulullah SAW seorang "rasis". Baginda seperti merendahkan martabat Bangsa Habsyah dalam hadis mentaati pemimpin:
"Dengar dan taatilah, walaupun yang menjadi pemimpin kamu adalah hamba berbangsa Habsyi..." (riwayat al-Bukhari).
Kalau mengikut pemahaman umum yang selalu digembar-gemburkan maka kita akan berkata bahawa Rasulullah SAW melakukan asabiah kerana mengagungkan Bani Hasyim dan menghinakan Bangsa Habsyah!
Namun apakah benar pemahaman seperti ini? Pasti pemahaman seperti ini adalah batil kerana kita - Muslim - beriman bahawa manusia yang paling adil ialah Rasulullah SAW. Rasulullah adil kepada Bani Hasyim dan adil kepada Bangsa Habsyah.
Makna Asabiah
Lanjutan daripada itu, apakah makna sebenar asabiah jika mencintai bangsa sendiri, menolong memajukan bangsa sendiri, mempertahankan hak bangsa sebagai waris tanah pusaka; dihitung sebagai hal yang dibolehkan?
Jawapannya telah Rasulullah SAW rungkaikan ketika seorang sahabat bertanya soalan yang hampir serupa. Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: "Adakah termasuk perbuatan asabiah apabila seseorang itu mencintai bangsanya? Rasulullah menjawab: Tidak, tetapi asabiah itu ialah orang yang menyokong (menolong) kaumnya melakukan kezaliman". (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Fahamlah kita bahawa dikatakan asabiah adalah apabila kita bersekongkol dalam melakukan kejahatan yang dilakukan oleh kaum kita. Kita membela mereka ketika kita mengetahui kaum kita melakukan penindasan. Juga kita mendiamkan atau enggan menjadi saksi ketika kaum kita diadili dan didakwa atas sesuatu kesalahan. Inilah asabiah yang sebenarnya.
Kerana bagi siapa yang cerdik dan bijak, pasti mereka mengetahui bahawa bangsa Arab yang menghuni di dunia pada tahun kenabian sangatlah mencintai bangsanya dan sangat kuat ikatan kesukuan. Malah para ilmuan sosiologi dan antropologi akan mendapati bahawa mereka saling membantu untuk memajukan bangsa mereka.
Hal ini cukuplah kita nyatakan bahawa Uthman r.a. melantik para pembesarnya daripada Bani Umayyah sehinggakan kaum Khawarij dan kaum sesat menghina malah menggerakkan massa agar membunuh beliau atas fitnah kononnya melakukan nepotisme.
Malah Uthman r.a. dikatakan melakukan korupsi apabila memberikan khumus (1/5 harta rampasan perang) kepada Abdullah Bin Sa'ad Bin Abu Sarah, Mirwan bin Al Hakkam dan Al Harits Bin Al Hakam yang merupakan Bani Umayyah dan saudara beliau.
Namun Uthman r.a. terlalu jauh daripada tuduhan keji tersebut. Murrah bin Ka'ab ra berkata:" Aku mendengar daripada Rasulullah SAW ketika baginda menyebut tentang fitnah yang akan terjadi di tengah-tengah umat Islam.
Pada ketika menyebut tentang fitnah ini, berlalu seorang lelaki yang bertutup kepalanya dengan kain. Baginda lantas bersabda: "Pada hari tersebut orang ini berada di atas petunjuk" … sambil menunjuk ke arah lelaki yang bertutup itu. (Murrah menyambung) Maka aku pergi kepada lelaki bertutup itu, ternyata beliau ialah 'Uthman bin 'Affan. Kemudian ketika wajah 'Uthman aku perlihatkan kepada Rasulullah, aku bertanya: "Orang inikah anda maksudkan?" Rasulullah SAW menjawab: "Ya." (riwayat Ahmad dan al-Tirmidzi)
Cuba kita fikirkan, sekiranya menantu Rasulullah SAW yang dijamin syurga juga dituduh asabiah, nepotisme dan korupsi kerana melantik beberapa pembesar yang berkebolehan daripada Bani Umayah, pasti usaha kerajaan untuk membangunkan bangsa Melayu dan mempertahankan hak mereka akan dikatakan sebagai "kerja dosa".
Wallahua'lam.
Sumber klik sini.
No comments:
Post a Comment
Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.