http://www.sinarharian.com.my/arena-bolasepak/harimau-malaya/harimau-malaya-tersungkur-1-4-1.185147
SKUAD Kebangsaan nyata bukanlah lawan setanding bagi Chelsea apabila tewas 1-4 kepada kelab Liga Perdana Inggeris itu pada perlawanan persahabatan antarabangsa sempena Jelajah Asia 2013 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Di hadapan 50,000 penonton, The Blues mempamerkan aksi kelas tinggi yang cukup berbeza dengan apa yang mereka pamerkan ketika menentang pilihan Thailand di Bangkok melalui tempo permainan yang lebih pantas dan tersusun yang membuatkan Harimau Malaya seolah-olah terpaku.
Malah dalam perlawanan itu, pasukan bimbingan Jose Mourinho jelas menepati ramalan apabila menguasai penuh perlawanan dan hanya memerlukan masa enam minit sahaja untuk membuka tirai jaringan menerusi Bertrand Traore.
Begitu pun, Harimau Malaya cuba memberikan sedikit ancaman pada pertengahan babak pertama dan mereka hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-22 namun K. Gurusamy terlepas peluang itu setelah bola percubaannya dalam kotak penalti sempat ditampan keluar oleh barisan pertahanan Chelsea.
Skuad Harimau Malaya sekali lagi tersentak dengan gol kedua anak buah Mourinho apabila jaringan daripada De Brunye yang melepaskan rembatan kencang dalam kotak penalti pada minit ke-29 berjaya menewaskan penjaga gol Mohd Faizal Marlias.
Sebaik sahaja jaringan itu, De Bruyne mengalami kecederaan dan terpaksa
digantikan dengan Islam Feruz.
Skuad Harimau Malaya masih tidak kenal erti putus asa dan cuba sedaya upaya untuk membolosi gawang lawan.
Penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahyah mempunyai peluang untuk
merapatkan jaringan pada minit ke-35 tetapi tendangannya dari jarak 25 meter
dengan mudah diselamatkan oleh penjaga gol Mark Schwazer.
Sebelum perlawanan berhenti rehat, Chelsea terus memperkukuhkan kedudukan menerusi jaringan Romelu Lukaku pada minit ke-47.
Pada babak kedua perlawanan, permainan semakin rancak dengan skuad Harimau Malaya cuba melakukan serangan.
Namun, kelincahan pemain Chelsea nyata sukar digugat oleh pertahanan Malaysia apabila gawang tuan rumah sekali lagi dibolosi dan kali ini oleh Victor Moses pada minit ke-89 selepas Farizal gagal menampan keluar bola rembatan leret di dalam kotak penalti.
Akhirnya jaringan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat Malaysia tercapai jua pada masa kecederaan apabila Mohd Fadhli Mohd Shas memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan pintu gol Chelsea dengan tandukan cantik yang menewaskan penjaga gol nombor satu The Blues, Peter Cech.
Untuk rekod, pada tahun 2011, Chelsea menang 1-0 ke atas pasukan pilihan Malaysia.
Senarai pemain:
Malaysia:
Farizal Marlias, Mahalli Jasuli, Azizi Matt Rose, Asraruddin Putra Omar, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Shakir Shaari, K. Gurusamy, S. Kunanlan, Mohd Amri Yahyah, Nik Mohd Shahrul Azim.
Chelsea FC:
Branislav Ivanovic, Micheal Essien, Bictor Moses, Wulfert Cornelis van Ginkel, Eden Hazard, Romelu Lukaku , Mark Shwarzer, John Terry, Nathaniel Chalobah, Ryan Dominic Bertrand , Bertrand Traore.
No comments:
Post a Comment
Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.