KUANTAN 25 Feb. – Rakyat diajak membetulkan semula hala tuju negara pada pilihan raya umum akan datang dengan menolak pakatan atau kumpulan yang tidak mempertahankan mesej Islam, Melayu dan raja (IMR).
Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, halangan utama kepada usaha mengagungkan dan membawa mesej IMR kepada rakyat adalah pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Pas.
“DAP sama sekali tidak bersetuju dengan niat baik saya untuk membina Islam di Selangor. Saya nak kurangkan arak, DAP tak setuju, kurangkan judi pun mereka tak setuju, mahu kurangkan rumah urut juga dibantah keras oleh DAP.
“Halangan kedua ialah beberapa personaliti dalam institusi politik yang bukan mendorong untuk menyelesaikan isu IMR tetapi mengukir satu perkara baru yang mengharu-birukan akidah umat Islam.
“Buktinya, melalui fahaman pluralisme yang kini cuba dibawa oleh penghulunya yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar juga amalkan satu lagi fahaman iaitu liberalisme yang mempersoalkan mengenai undang-undang homoseksual, lesbian, transeksual dan sebagainya. Ia cukup berbahaya dan perlu ditolak oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Bicara Ummah yang dihadiri kira-kira 6,000 orang di Padang Awam, Perkampungan Sungai Isap Perdana di sini malam tadi.
Hadir sama bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Hafiz Nordin.
Hasan berkata, pada pilihan raya umum akan datang, rakyat perlu berazam demi anak-anak dan cucu cicit bagi memilih pemimpin yang mampu mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi diraja.
“Pilihan raya umum kali ini akan menentukan hidup dan mati kita. Jadi, saya minta rakyat negara ini tidak mengundi pakatan pembangkang yang jelas memencilkan Islam, Melayu dan institusi raja,” katanya.
Setiap rakyat terutama orang Melayu katanya, perlu memainkan peranan bersama kerana mereka kini sedang dicabar oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mahu merosakkan akidah umat Islam.
Komen Isac;
Sebaliknya Himpunan Hijau 2.0 hanyalah satu usaha menangguk di air yang keruh... Cuba memanipulasi situasi dan menyemarakkan kemarahan orang ramai yang tidak tahu hujung-pangkal demi untuk mendapat millage politik. Yang jelas menyokong Pakatan Rakyaat samalah seperti menyerahkan kuasa politik kepada DAP.