9 Apr 2014

MH370: Ocean Shield Kesan Dua Lagi Isyarat Baru ???


KUALA LUMPUR: Kapal Tentera Laut Australia, Ocean Shield, telah mengesan dua lagi isyarat di kawasan pencarian untuk pesawat MH370, menjadikan jumlah isyarat yang dikesan kapal itu setakat ini kepada empat.



Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Angus Houston berkata dua isyarat terbaru ini dikesan tengah hari semalam dan lewat malam semalam, waktu Perth.

Beliau berkata isyarat pertama yang dikesan bertahan selama lima minit dan 32 saat manakala isyarat kedua bertahan selama tujuh minit.

JACC 

Peta menunjukkan empat kawasan denyutan 'ping' yang dikesan oleh kapal tentera Australia Ocean Shield menurut JACC


"Isyarat yang dikesan semalam akan membantu kami dalam mengkhususkan kawasan carian yang lebih mudah diuruskan di dasar laut.



"Saya percaya kami sedang mencari di kawasan yang betul tetapi kami perlu mengenalpasti bangkai pesawat secara visual sebelum dapat mengesahkan dengan pasti ini adalah tempat dimana pesawat itu berakhir.

"Demi 239 keluarga penumpang, ini adalah benar-benar penting," katanya semasa satu sidang media di Perth hari ini.

MH370 

Peta terbaharu dikeluarkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) menunjukkan kawasan yang diperincikan pencariannya.



Houston menegaskan bahawa pasukan pencarian tidak akan mengarahkan penggunaan sebarang kenderaan atau peralatan dasar laut buat masa ini.


"Lagi jelas Ocean Shield dapat mengkhususkan kawasan pencarian, adalah lebih mudah untuk kenderaan bawah air digunakan untuk mencari sebarang bangkai pesawat.

"Ocean Shield boleh mencari enam kali jumlah kawasan daripada yang boleh dilakukan oleh kenderaan bawah air.

"Lagi banyak kerja-kerja yang boleh kita lakukan di permukaan air, lagi kurang kerja yang kita perlu lakukan di dasar laut.

"Memandangkan bateri kota hitam tamat dalam 30 hari, dan kini sudah 33 hari, ia adalah penting untuk kita mengumpul maklumat sebanyak mungkin untuk menetapkan lokasi pesawat sementara isyarat masih diterima," katanya.

Pada Isnin, Ocean Shield telah mengesan dua isyarat yang dikatakan sangat konsisten dengan isyarat yang dikeluarkan oleh kotak hitam pesawat.

Houston sebelum ini memaklumkan isyarat ‘ping’ pertama bertahan selama dua jam 20 minit sementara yang kedua hanya bertahan selama 13 minit sahaja.

Beliau turut berkata isyarat yang dikesan juga sangat konsisten dengan transmisi daripada perakam penerbangan dan perakam suara kokpit.   

No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.