9 Sept 2011

Angkat Komunis Sebagai Wira Negara - Mat Sabu Perlu Minta Maaf!!!

Bekas Ketua Polis Daerah Pagoh imbau kisah Bukit Kepong

8/9/2011

SHAH ALAM: "Tuan jangan risau, kami akan pertahankan tempat ini, biar putih tulang, jangan putih mata!"

Itulah kata-kata keramat yang masih segar dalam ingatan bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Datuk Seri JJ Raj, ketika mengimbas kenangan insiden berdarah Bukit Kepong 61 tahun lalu.
Beliau yang ketika itu menjaga 20 balai polis di sekitar daerah Pagoh termasuk Bukit Kepong berkata, lelaki yang menuturkan kata-kata itu ialah Sarjan Jamil Mohd Shah, antara 20 anggota polis yang berjuang menentang komunis ketika serangan pada 23 Februari, 1950.

"Itulah kata keramat terakhir, dan tabik hormat terakhir daripada Sarjan Jamil yang sedikitpun tidak nampak gentar dan berjanji akan mempertahankan Bukit Kepong, orang awam dan keluarga mereka," katanya pada sidang media anjuran Yayasan Pengaman Malaysia (Pengaman) di sini, hari ini.


Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi Pengaman, Tan Sri Norian Mai, bekas Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdul Rahman, dan dua pemegang amanah Pengaman, Tan Sri Jamil Johari dan Datuk Seri Azman Ujang.

Raj berkata, serangan oleh kira-kira 180 anggota komunis yang bermula kira-kira 4.30 pagi pada 23 Februari itu mengorbankan 27 nyawa iaitu 14 anggota polis, empat isteri, empat kanak-kanak dan lima polis bantuan.

Beliau berkata, semua mereka meninggal dunia selepas diserang serta dibakar oleh pengganas komunis tanpa belas kasihan.
"Sarjan Jamil masih berdiri sendirian di kubu polis sedangkan di sekelilingnya, rakan-rakan dan anggota keluarga maut bergelimpangan. Malah, beliau masih mahu berlawan walaupun ditawarkan untuk menyerah diri.

"Tiga kali tawaran menyerah diri dibuat oleh Mat Indera meminta Jamil berundur dan dia tidak akan diapa-apakan tetapi ketiga-tiga tawaran itu ditolak mentah-mentah dan beliau teguh dengan pendirian tetap melawan biarpun sendirian dan walaupun mempertaruhkan nyawa," katanya.

Bagi Raj yang kini berusia 90 tahun, sebagai orang yang mengalami sendiri peristiwa Bukit Kepong, beliau terpanggil untuk membuka kembali kisah sedih itu walaupun pedih kerana mahu orang menilai sendiri pengorbanan mereka yang mempertahankan negara.

"Saya bercerita, anda nilai sendiri...adakah mereka yang berjuang hingga saat terakhir dikatakan sia-sia dan mereka yang menawarkan supaya polis menyerah diri dan bersama komunis itu bagaimana pula," katanya.

Katanya, apabila memikirkan mereka yang terkorban dan Balai Polis Bukit Kepong berjaya ditawan serta dibakar, malah mayat mangsa yang terbunuh dicampak ke dalam api itu dikatakan sia-sia, ia adalah sangat menyedihkan.

Beliau berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak terbabit sangat mendukacitakan dan mengecewakan.

Pengerusi Pengaman, Tan Sri Samsuri Arshad, berkata tindakan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, yang memberikan gambaran bahawa polis dan anggota keluarga yang terkorban sebagai orang British manakala Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan dan hero adalah pembohongan, manipulasi dan putar belit.

Beliau berkata, Mohamad memang terkenal dengan sikap "rebel rouser" iaitu cenderung kepada membakar semangat rakyat dan menghasut ke arah pemberontakan atau revolusi.

Katanya, kenyataan Mohamad tidak dilihat daripada aspek siapa Mat Indera, bukan juga daripada aspek memperbetulkan fakta sejarah sebaliknya ia adalah helah dan kepentingan politik pemimpin PAS itu.

"Kami kenal siapa Mohamad dan kami akan bongkar Mohamad sebagai 'rebel rouser' dalam sidang media akan datang selepas mengumpul segala maklumat yang diperlukan.

"Komunis membunuh lebih 4,000 anggota keselamatan sejak sebelum Merdeka hingga sekarang dan mereka bukan pejuang kemerdekaan sebaliknya mahu mewujudkan kerajaan Bintang Tiga," katanya.

Bagi Pengaman, katanya, rumusan isu yang berlaku bukan berkenaan Mat Indera atau isu fakta sejarah kemerdekaan tetapi berkaitan dengan Mohamad yang mendewa-dewakan komunis dan mungkin sudah terpedaya dengan ideologi komunis sehingga tergamak menghina polis.

Sehubungan itu, Samsuri berkata Pengaman mahu siasatan dibuat terhadap PAS untuk mengetahui sejauh mana ideologi dan pengaruh komunis menyusup masuk dalam parti itu menerusi Mohamad.

Katanya, kenyataan Mohamad itu sangat mengguris perasaan mereka yang terbabit serta anggota pasukan keselamatan yang sentiasa bersedia berkorban mempertahankan negara.

"Syukur dan sedikit terubat apabila ramai juga pihak yang tampil membidas kenyataan Mohamad itu dan menghargai pengrobanan anggota keselamatan," katanya. - BERNAMA


Komen Isac;

Penulis masih boleh menerima sekiranya Mat Sabu menyarankan agar lebih banyak kajian ilmiah dijalankan untuk menyiasat kaitan sebenar Mat Indera dengan kegiatan komunis dan serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepung.

Ye lah mana tahu mungkin selain "tertipu ataupun terhasut" oleh dakyah komunis, nama beliau (Mat Indera) mungkin cuma sengaja digunakan oleh Pengganas Komunis sebagai propaganda untuk menarik lebih ramai anak-anak muda Melayu menyertai perjuangan mereka dengan memberikan "new branding" bahawa orang yang kuat agama seperti Mat Indera juga boleh menyertai perjuangan mereka. Komunis menerima Islam, justeru orang Melayu akan rasa "selamat".

Apa  yang hendak dihairankan kerana secara tidak langsung, perjuangan Pakatan Rakyaat hari ini juga mempraktikkan perkara yang sama dengan "mengrekrut" PAS dalam organisasi mereka. Walaupun perjuangan DAP dengan PAS bagai langin dengan bumi, tetapi atas dasar untuk memperdayakan orang-orang Melayu Islam, mereka telah lakukan apa yang dilakukan oleh PKM 61 tahun dahulu. Propaganda Pakatan di dunia cyber and media arus baru juga tidak ubah seperti startegi yang digunakan oleh PKM suatu masa dahulu!!!

Suatu perkara yang pasti dan khalayak perlu sedar ialah Komunis bukannya pejuang kemerdekaan!!! Mereka hanya mahu mewujudkan sebuah negara Republik Komunis dan mengenepikan orang Melayu dan Islam.


No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.