23 Jun 2010

PRU 13, Hujung Tahun??? Sengaja Memancing Najib???

PRU-13 hujung tahun
http://www.sinarharian.com.my/com/content/story7852361.asp


 

SHAH ALAM – Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijangka diadakan seawal hujung tahun ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memerlukan mandat baru daripada rakyat memandangkan mandat sekarang adalah daripada kepimpinan terdahulu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, sudah menjadi kebiasaan dan wajar seorang pemimpin negara yang baru dilantik mendapatkan mandat rakyat memandangkan keadaan ekonomi negara juga sudah pulih.

Menurutnya, dengan pilihan raya umum ini nanti barulah kepimpinan Najib dan Barisan Nasional (BN) diuji sejauh mana mereka boleh meneruskan kepimpinan negara dan menidakkan percubaan Pakatan Rakyat: (PR) merampas Putrajaya.

“Saya bersependapat dengan Tun Mahathir Mohamad bahawa pilihan raya umum wajar dipercepatkan dan saya jangka seawal hujung tahun ini ataupun awal tahun depan.

“Jika pilihan raya umum diadakan pada hujung tahun depan, ia sudah menjadi pilihan raya umum biasa dan bukan lagi dipercepatkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Ditanya cadangan PR yang mahu mengadakan pilihan raya negeri yang diperintah mereka dibuat secara berasingan dengan pilihan raya umum, Ahmad menegaskan PR berada dalam ‘angan-angan’.

Katanya, perkara tersebut sebenarnya tertakluk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan negeri tiada hak untuk mengadakan pilihan raya negeri sendiri.

“Kalau mereka (PR) jadi kerajaan pusat tidak mengapa, mereka harus faham konsep pembahagian kuasa, pegawai SPR dilantik oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, Perdana Menteri pula daripada BN.

“Oleh itu Najib tidak akan membenarkan cadangan yang dibuat oleh pemimpin PR dan jelas mereka hanya berangan,” katanya.

Rabu minggu lalu, Perdana Menteri berkata tarikh pilihan raya umum akan mengejutkan semua pihak kerana kajian baru-baru ini oleh Merdeka Centre for Opinion research menunjukkan 72 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasi Najib berbanding 69 peratus semasa beliau mula-mula menjadi Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.