28 Aug 2009

Inkues Teoh - Gobind Cuba Mengelirukan Mahkamah ?



Khamis Ogos 27, 2009
Inkues Teoh: Tidak dengar sebarang pergaduhan babitkan mendiang, kata pegawai SPRM
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mendengar sebarang pergaduhan atau bunyi bising di pejabat suruhanjaya berkenaan sekitar pukul 2 hingga 2.30 pagi pada 16 Julai lalu.

Perkara tersebut dinyatakan saksi ke-18 inkues kematian pembantu politik seorang exco Selangor, Teoh Beng Hock, Mohd Najeib Ahmad Walad.

Mohd Najeib yang merupakan Penolong Penguasa SPRM Selangor berkata, suasana di pejabat SPRM pada awal pagi berkenaan adalah dalam keadaan tenang dengan beberapa orang pegawai masih menjalankan tugas masing-masing.

"Pada masa itu keadaan di pejabat SPRM tenang, saya tak dengar suara orang betengkar pada masa itu," katanya semasa menjawab soalan peguam pihak keluarga Teoh, Gobind Singh Deo.

Kenyataan tersebut dilihat bertentangan dengan keterangan saksi ke-16 semalam, Mohd Anuar Ismail bahawa beliau mendapat maklumat terdapat pergaduhan antara Teoh dan Tan Boon Wah di tandas pejabat SPRM kira-kira pukul 2 pagi pada 16 Julai lalu.

Mohd Anuar yang juga pegawai penyiasat SPRM memaklumkan kepada mahkamah semalam bahawa beliau telah dimaklumkan oleh seorang pegawai lain yang bernama Bulkani Paharuddin mengenai pergaduhan tersebut.

"Kamu katakan keadaan di pejabat tenang, jadi kalau orang jerit, marah-marah, atau gaduh kamu boleh dengar?" soal Gobind kepada Mohd Najeib.

"Tidak, saya tak dengar... kalau saya dengar orang bertengkar saya akan lari," jawab Mohd Najeib.

Jawapan beliau itu menyebabkan suasana mahkamah menjadi sedikit bising dengan gelak tawa wakil media dan orang awam yang mengikuti prosiding inkues pada petang ini.

Gobind kemudiannya berkata: "Oh... kamu akan lari bila dengar orang bertengkar?

"Di sini saya ingin saya katakan apa yang Mohd Anuar beritahu mahkamah semalam bahawa Teoh dan Tan Boon Wah bertengkar adalah satu penipuan.

"Mohd Najeib bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut.

"Tidak... saya tidak tahu, saya tidak berada di situ pada masa itu," kata Mohd Najeib.



Komen Isac;


Penulis tidak pernah berada di pejabat SPRM di Menara Masalam, Shah Alam. Tetapi penulis percaya, tandas di situ lokasinya juga adalah sama seperti di pejabat-pejabat moden yang lain iaitu berada di luar ruangan pejabat dan berdekatan dengan lif. Ada pintu yang memisahkan ruangan pejabat dengan kawasan lif/ruang legar.


Untuk ke tandas anda perlu melalui sebuah pintu dan selepas pintu ini ada dua pintu yang berasingan, satu untuk ke tandas lelaki dan satu lagi untuk ke tandas wanita. Dalam ertikata lain, antara ruangan kerja dan tandas lelaki ianya dihadang oleh tiga (3) buah pintu.


Selain itu pejabat SPRM juga sudah pasti hampir kedap udara dan bunyi kerana pintu-pintu ini sentiasa tertutup untuk mengelakkan udara sejuk dari penghawa dingin hilang.


Apa yang penulis ingin sampaikan ialah, memanglah Mohd Najeib tidak akan terdengar jika ada pertengkaran berlaku di tandas lelaki terutamanya jika beliau sedang bekerja dengan tekun di ruangan kerja. Ini adalah kerana selain ruangan kerja tersebut kedap udara/bunyi ianya terhadang oleh tiga (3) buah pintu dan ada di antara pintu-pintu ini adalah pintu "rintangan api" (tebal dan kedap bunyi). Jika mahkamah tidak percaya, silalah buat ujikaji untuk menilai samada "hipotesis" saya ini adalah benar atau sebaliknya.


Pada pendangan penulis, pertanyaan Gobind ini adalah suatu teknik "leading question" yang biasa diajukan oleh peguam-peguam untuk membuatkan mahkamah meragui dakwaan saksi terdahulu (Mohd. Anwar) yang mengatakan beliau diberitahu ada berlaku pertengkaran antara Tan dan mendiang Teoh di tandas.


Satu perkara lagi, jika benar pertengkaran tersebut berlaku, pastinya Tan tidak berani menjerit kuat-kuat kerana pasti takut suaranya akan menarik perhatian pegawai-pegawai SPRM.


Bukankah soalan Gobind itu sememangnya cuba untuk melindungi Tan dari menjadi "suspek" kerana mempunyai motif untuk membunuh mendiang Teoh?



Peguam perlu jujur, membelit dan "lidah bercabang" adalah resam ular....







No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.