9 Jul 2009

Kerajaan Negeri Kelantan Boleh Bawa Isu Royalti ke Mahkamah Jika Tidak Berpuas-Hati : Mustapa


KUALA KRAI: Kerajaan Pas Kelantan disaran membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah daripada terus mempolitik isu berkenaan semata-mata untuk mengelirukan rakyat. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Kerajaan Pas Kelantan wajar merujuk kepada undang-undang selepas enggan menerima penjelasan Kerajaan Pusat. Katanya, Kerajaan Pusat sudah menjelaskan yang kerajaan negeri tidak layak mendapat royalti daripada pengeluaran petroleum di kawasan bertindih antara Malaysia, Vietnam dan Thailand itu.

"Berikutan kedudukan Pas sebagai parti pembangkang, saya tidak jangka mereka akan bersetuju dengan kenyataan itu dan menerima penjelasan yang dibuat Kerajaan Pusat, itu biasa dan mereka terus mempolitikkan tuntutan itu. "Sedangkan negara ini berasaskan undang-undang dengan setiap rakyat dan kerajaan negeri mempunyai hak masing-masing. Siapa yang tak puas hati, mereka berhak mengambil tindakan undang-undang mengikut saluran yang ada. "Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, boleh menghantar surat mengenai royalti itu tanpa sebarang halangan dan Kerajaan Pusat akan menjawabnya mengikut apa yang termaktub dalam undang-undang," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, kecewa dengan tohmahan pihak tertentu yang mendakwa beliau menjadi dalang yang menyekat segala pembangunan ke negeri ini. Beliau berkata, jika benar beliau bersikap demikian terhadap Kelantan, adalah mustahil untuk negeri ini menikmati segala kemajuan seperti dikecapi sekarang yang sebahagian besar sumber kewangan serta projek mega disalurkan Kerajaan Pusat. "Saya kecewa dengan tohmahan pihak tertentu mengatakan saya bertanggungjawab menyekat segala pembangunan di negeri ini, sedangkan segala nikmat pembangunan yang dinikmati Kelantan, sebahagiannya melalui usaha saya seperti peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) yang menyaksikan Kelantan menerima RM7.6 bilion, iaitu negeri paling banyak mendapat peruntukan sepanjang RMK-9. "Ada pihak tertentu yang mungkin tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara dan melemparkan tohmahan itu. Adalah mustahil untuk saya menyediakan sesuatu itu 100 peratus lengkap sepenuhnya. Saya akui ada kelemahannya dan kita akan atasinya dengan sebaik mungkin untuk kemajuan negeri ini," katanya.

Mustapa berkata, untuk membuktikan bahawa segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya termasuk Barisan Nasional (BN) itu tidak benar, rakyat Kelantan harus memberi peluang bagi membolehkan beliau serta BN buktikan segala janjinya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai, Selasa depan. Katanya, sekiranya BN menang, kawasan Manek Urai akan menjadi model transformasi kepada kejayaan BN dan sekali gus membuktikan bahawa masyarakat Kelantan masih inginkan pembangunan. "Beri peluang kepada kami (BN) untuk buktikan dalam tempoh tiga tahun ini sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti, untuk membuktikan keikhlasan BN yang selama ini memperjuangkan nasib rakyat serta pembangunan negeri ini," katanya.


Komen Isac;

Kawasan carigali minyak/gas ini sebenarnya berada lebih hampir dengan kawasan perairan Thailand. Ia dikira berada di dalam kawasan pentadbiran Kerajaan Pusat kerana ianya berada dalam lingkungan 100 hingga 200 kilometer (70 hingga 150 batu nautika) daripada pantai negeri Kelantan. Dari sudut undang2 Kerajaan negeri Kelantan tiada hak ke atas kawasan ini.


Foto diambil dari Blog Abang Tuah

Walau bagaimanapun atas dasar tolak-ansur ataupun atas dasar perikemanusiaan pihak Kerajaan Pusat boleh mempertimbangkan untuk memberikan Kelantan 5% royalti minyak seperti yang dinikmati oleh negeri Terengganu. Tapi perlu diingat pertimbangan tersebut adalah atas dasar ikhsan dan kerajaan negeri Kelantan tiada hak untuk memaksa kerajaan pusat untuk berbuat demikian.

Tetapi jika Pas secara terus-terusan mencaci dan menghina Kerajaan Pusat (BN/Umno) dan menyamakan mereka dengan berbagai-bagai perumpamaan yang menghasut, memfitnah dan berniat jahat seperti "Kafir", "Toghut", "Komunis", "Ayah Pin", "Chin Peng", "Parti Assobiyyah" dan lain-lain lagi saya pasti selagi itulah Kelantan tidak akan mendapat ikhsan mereka.

Kerana menghadiahkan 5% royalti minyak kepada Kerajaan Kelantan adalah umpama ,"Melepaskan anjing yang tersepit". Untuk rekod Kelantan menikmati peruntukan terbesar dalam RMK 9 yang lalu, iaitu RM 7.6 Bilion tetapi kerajaan negeri (Pas) langsung tidak menunjukkan rasa terimakasih kepada kerajaan pusat.

Sedikit petikan dari Malaysiakini.com, Link:http://www.malaysiakini.com/news/107437
di atas tajuk, "K'tan guna saluran politik, diplomasi tuntut royalti minyak"
Jun 29, 09 2:37pm
.

"Husam berkata, beliau yakin kerajaan pusat akan mempertimbangkan pemberian royalti itu kerana Terengganu, yang pelantar minyaknya terletak 220 kilometer di perairan negeri itu menerima bayaran royalti minyak.Katanya, pelantar minyak di Kelantan terletak 170 kilometer dari perairan Kelantan, maka jarak lebih dekat itu mewajarkan kerajaan pusat membuat bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Beliau berkata nama pelantar minyak berkenaan juga menggunakan nama bahasa Melayu, iaitu antaranya pelantar bunga raya, pelantar cakerawala dan pelantar bintang. Katanya kesemua nama pelantar di dalam bahasa Melayu membuktikan ia milik syarikat Malaysia, sekaligus Kelantan juga berhak membuat tuntutan royalti minyak".

Walau apapun hujahnya mengikut undang-undang sediada, royalti minyak untuk negeri Kelantan adalah tertakluk kepada 'Ikhsan" Kerajaan Pusat kerana dari segi perundangan kerajaan negeri sememangnya tidak ada hak ke atasnya.








3 comments:

  1. salam perjuangan,

    Sebenarnya, zon telaga minyak tersebut tersasar jauh dari 100km yang dibenarkan sebagai perairan sesebuah negeri. Oleh itu ianya berada di PERAIRAN ANTARABANGSA MALAYSIA.

    Pembaca juga perlu ketahui bahawa, zon ini juga adalah KAWASAN BERTINDIH 3 NEGARA- THAILAND-MALAYSIA-VIETNAM.

    OLEH ITU SEBARANG PEMBANGUNAN, PERLUKAN PERSETUJUAN 3 BUAH NEGARA TERSEBUT.

    DALAM INDUSTRI HULUAN (PENCARIGALIAN) MINYAK, KESTABILAN POLITIK AMAT PENTING, SEBAB ITU, saya amat berharap Klenatan tidak memanjangkan isu yang TIADA KAITAN dgn mereka.

    Kelantan boleh claim sehinggan ke mahkamah antarabangsa di The Hague, Holland, tapi saya yakin, ianya akan memihak Kerajaan Pusat (Kerajaan Malaysia)

    ReplyDelete
  2. Takat cakap ada bukti, tapi tak tunjuk bukti, tak bawa ke mahkamah watpa...PAS cakap saja. Penyokong dan pucuk pimpinan dia buta perlembagaan negara.

    anakmuda
    http://ohpolitik.blgspot.om

    ReplyDelete
  3. Tuntutan yg dibuat ikut nafsu, tidak guna akal. Memang gitu lah mentaliti orang PAS ni. au Pahang akan akan perolihi hasil minyak kerana layak, maka Kelantan pun akan terima juga jika layak. Masalahnya tidak layak, nak buat macam mana !

    ReplyDelete

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.