26 Jun 2010

Isu Tuduh Beberapa Ulamak & Pemimpin Terbabit Dengan JI - Zamihan Buat Laporan Polis!!!

JI: Pegawai ILIM minta polis siasat maklumat bocor
June 25, 2010
KUALA LUMPUR, 25 Jun - Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Zamihan Mat Zin hari ini membuat laporan polis berhubung “kebocoran” maklumat taklimat sulit mengenai keselamatan negara berhubung isu Jemaah Islamiah (JI) yang diadakan Isnin lalu.

Pegawai kanan Institut Latihan Islam Malaysia itu berkata, beliau membuat laporan agar polis melakukan siasatan terperinci bagaimana maklumat sulit boleh “dibocorkan” kepada pihak ketiga
 
“Hari ini saya membuat laporan polis atas dua sebab iaitu bagaimana kebocoran maklumat sulit isu keselamatan negara boleh berlaku dan mahu polis menyiasat siapa yang bertanggungjawab membocorkan maklumat itu.

“Sebab kedua adalah atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah terhadap saya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pegawai kanan bidang pemikiran Institut Latihan Islam Malaysia membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi dekat sinin petang tadi.

Zamihan berkata maklumat sulit itu tidak seharusnya sampai ke pengetahuan pihak media. “Ia maklumat sulit, jadi bagaimana media boleh tahu perkara ini jika tiada siapa yang membocorkannya. Justeru saya mahu polis menyiasat secara terperinci mengenai perkara ini.

“Malah kenyataan yang dikeluarkan media adalah tidak benar dan sengaja direka untuk menimbulkan salah faham,” katanya.

The Malaysian Insider difahamkan ketika sesi taklimat itu Zamihan dikatakan mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mufti Perlis Dr Juanda Jaya, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitang dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Zamihan bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Sebaliknya Zamihan mengakui ada “membangkitkan” nama Asri dalam taklimat itu berdasarkan tulisan beliau selama ini.

“Dakwaan itu adalah satu pembohongan, dusta dan khianat,” kata Zamihan. “Saya tidak pernah menyentuh ketiga-tiga tokoh itu mempunyai kaitan kecuali Asri, itupun berdasarkan analisis daripada buku-bukunya yang dilihat mempunyai pemikiran yang sama dengan JI,” katanya.

Ketika membuat penjelasan di Dewan Rakyat semalam, Saifuddin menegaskan, polis tidak pernah mengaitkan empat tokoh di negara ini sebagai kumpulan pengganas.

“Sebenarnya pada 21 Jun lalu, ada dua taklimat... satunya diberikan oleh pihak Bukit Aman. Saya fikir taklimat ini adalah tepat dan tidak menimbulkan sebarang masalah dan saya akan mempertahankannya.

“Tetapi ada taklimat kedua. Ini yang saya dengar beberapa pihak mempersoalkannya kerana mengaitkan anggota Parlimen, bekas menteri besar, mufti dan bekas mufti,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) yang juga Naib Presiden parti itu.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan Wahabi yang tidak pernah difatwa sebagai ajaran sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan kegiatan pengganas adalah satu perbuatan yang dilihat melampau. “Saya juga mendapati orang yang memberi taklimat ini mempunyai masalah dengan bekas mufti Perlis. Jadi bagaimana boleh dikatakan masalah peribadi hendak dijadikan masalah keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata, tindakan mengaitkan agama dengan keganasan adalah berpunca daripada gejala Islamofobia yang banyak berlaku di negara Barat dan ia tidak sepatutnya dibawa ke negara ini.


Komen Isac;

Jika hasil siasatan nanti isu tersebut disebabkan "Malaysiakini" sengaja "memandai" ??? Nampaknya satu lagi portal yang dikaitkan dengan pembangkang mungkin bakal disaman....

No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.