10 May 2010

Musang Berbulu Ayam....

Pas elak musang berbulu ayam



KOTA BHARU 8 Mei – Pas Kelantan dan kerajaan negeri diminta supaya berhati-hati dalam memilih kakitangan awam serta pekerja parti bagi mengelakkan kes infiltration (penyusupan) seperti musang berbulu ayam yang akan membocorkan rahsia kepada pihak lawan. Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu sudah beberapa kali berpengalaman diserapi orang dari luar yang kononnya mahu membantu tetapi rupa-rupanya menjadi sebahagian daripada perancangan ‘musuh’ politik mereka.

Beliau berkata, orang yang akan bekerja untuk parti itu tidak semestinya mempunyai keahlian Pas tetapi latar belakangnya haruslah diselidik secara terperinci. Mohd. Amar bagaimanapun menafikan kenyataannya itu merujuk kepada penulis blog Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang kini dilihat banyak mengecam Pas dan kerajaan negeri.

“Saya tidak nak kata dia (Syed Azidi) itu infiltrator, tetapi pengalaman kita dalam politik itu kita telah bertemu pelbagai peristiwa, di mana telah berlaku dalam parti infiltration dalam bentuk yang pelbagai.“Kita memberi peringatan sebab kita ada pengalaman, bila dekat dengan pilihan raya, dan kita ada sambutan, maka orang itu dan ini datang tawar untuk tolong Pas, sedangkan dia bertujuan lemahkan parti secara tak langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pemberita selepas merasmikan Muktamar Tahunan kali ke 37 Dewan Muslimat Pas Negeri Kelantan (DMPNK) di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) di sini hari ini. Sejak penghujung tahun lepas kerajaan dan Pas negeri ini menghadapi pelbagai isu terutama membabitkan siri pendedahan yang dibuat oleh Syed Azidi dalam blognya, Kickdefella.

Penulis blog tersebut merupakan bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang dipecat pada penghujung tahun lepas. Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah berkata, pengalaman tersebut perlu dijadikan pengajaran supaya ia tidak berulang lagi di masa akan datang.

“Infiltration adalah perisikan yang berkesan, dalam dunia korporat pun orang guna infiltration untuk cari kelemahan saingan, atau melemahkan saingan korporat, jadi tak mustahil dalam Pas ini pun kita berdepan dengan suasana yang sama,” katanya. Katanya, Pas atau kerajaan negeri perlu melihat beberapa ciri tertentu terutama memiliki sikap amanah sebelum mengambil seseorang untuk bekerja.

“Secara umumnya pertama mestilah kelayakan sesuai dengan jawatan dipohon, kedua personaliti, untuk kerajaan sendiri pun ada tapisan keselamatan, saya sendiri dulu pernah nak jadi pegawai kerajaan, ada tapisan keselamatan, ada soal siasat, semak latar belakang keluarga. “Ini disebabkan kita mahu pastikan supaya kita tak jadi masalah dalam pentadbiran. Saya sendiri pernah lalui benda tu.

‘‘Jadi sepatutnya dalam organisasi kita boleh mengguna pakai benda yang sama, maksud saya bukannya orang Pas sahaja perlu diambil bekerja kerana ianya terbuka kepada semua dan memenuhi ciri yang ditetapkan,” katanya.



Komen Isac;

Syarikat-syarikat GLC juga perlu mencontohi Pas dalam perkara ini, bukannya apa sekiranya pegawai-pegawai yang dilantik adalah terdiri daripada mereka yang menentang polisi kerajaan, maka sudah tentulah syatikat-syarikat GLC tersebut akan gagal untuk melaksanakan visi dan misi yang diberikan.

No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.