21 Mar 2010

PM Pulang Ke Kampung Halaman....



PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Razak, melambaikan tangan sambil menjenguk ke luar jendela ketika melawat rumah kelahiran beliau yang juga bekas kediaman Setiausaha Kerajaan Pahang di Lipis hari ini. Turut sama Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal, dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Foto Azmaidi Abidin

Najib sebak pulang ke Lipis
KUALA LIPIS: Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, lawatan sehari ke Kuala Lipis hari ini bukanlah sebarang lawatan. Ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan bonda, Tun Rahah Mohd Noah, program sehari beliau bersama warga Lipis, tempat kelahirannya begitu bermakna sekali.

Lawatannya ke tempat kelahirannya itu adalah yang pertama kali sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009. "Saya begitu tersentuh hati bila orang Lepeh (sebutan Lipis) mengibaratkan saya sudah 'balik ke Lepeh' dan saya begitu terharu dengan sambutan yang diberikan," katanya ketika berucap pada majlis ramah mesra dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) Lipis, di sini.

Perdana Menteri berkata, sejak pagi tadi selepas menghadiri program Sambutan 50 tahun Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan lawatan ke rumah kelahirannya di Bukit Bius, emosinya begitu terharu dengan sambutan yang diberikan. Lebih 5,000 orang membanjiri Dataran Lipis ketika menyambut Najib merasmikan program kementerian itu.

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata beliau juga terharu ketika ditawarkan bertanding di Parlimen Pekan pada pilihan raya umum 2004 berikutan keputusan agak kurang memberangsangkan pada pilihan raya umum sebelum itu. "Pada 1999(pilihan raya umum) saya hadapi masalah di Pekan, saya menang cuma 241 undi majoriti. Saya sayang 'Lepeh' tapi saya yakin orang Pekan masih menerima saya," katanya.

Najib dilahirkan pada 23 Julai 1953 ketika Allahyarham Tun Razak dan Tun Rahah menetap di Kuala Lipis. Berucap pada sambutan 50 tahun Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan wilayah sebelum itu, Najib berkata beliau memaklumkan kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal supaya majlis sambutan itu tidak sesekali diadakan di Pekan.

"Apabila Datuk Seri Shafie kata nak buat di Lipis, saya begitu teruja sekali, malah bonda saya juga berkata walau apa pun, beliau pasti akan datang juga," katanya. Beliau kemudian turut melawat rumah kelahirannya yang kini menjadi kediaman rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang di Bukit Bius di sini yang ternyata menggamit memori beliau 57 tahun lalu.

Najib yang ditemani Rosmah dan Rahah tiba di rumah berkenaan kira-kira 1.25 petang dan meluangkan masa kira-kira 30 minit. Beliau nyata begitu teruja semasa menatap gambar lamanya ketika dibesarkan di rumah berkenaan. Ketika berucap pada majlis bersama Umno itu, Najib turut mengumumkan hadiah buat warga Lipis apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM15.4 juta untuk menaiktaraf bekalan air luar bandar di kawasan berkenaan.

Peruntukan berkenaan bagi membaiki sistem paip dan menyalurkan bekalan air ke empat kampung iaitu Kampung Dada Kering, Kampung Pagar Sasak, Kampung Petola dan Kampung Mun. Najib juga berharap pemimpin setempat terus memainkan peranan membela dan menyampaikan suara hati rakyat agar Barisan Nasional terus relevan.

"Tahap pendidikan yang tinggi kini, kita sudah ada kelompok besar yang tidak menganggotai mana-mana parti politik tetapi mereka memilih parti atas dasar, isu, kepimpinan semasa dan mahu parti yang memperjuangkan hak mereka," katanya. Najib berkata, rakyat tidak akan memandang parti lain, jika Umno dan BN terus dapat mencerminkan perjuangan membela rakyat, membela bangsa, agama dan negara. - Bernama









No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.