15 Mar 2010

Harga Minyak & Barang Tak Naik - Kerajaan Jangan Hanya "Pandai" Keluar Kenyataan....


Harga minyak, barang tak naik
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0315&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my


KUALA LUMPUR 14 Mac – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin oleh pihak-pihak tertentu bahawa harga minyak dan barang keperluan akan naik dalam masa terdekat ini.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selagi kerajaan tidak membuat pengumuman terutama berhubung harga minyak, ia adalah khabar angin semata-mata.


“Saya hendak beritahu kepada rakyat, selagi tidak ada pengumuman oleh kerajaan untuk sebarang kenaikan, ia hanya spekulasi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hari Pengguna Kawasan Puchong dekat sini hari ini.


Ismail Sabri berkata, sebelum ini terdapat ura-ura harga bahan bakar dan barang keperluan akan dinaikkan, tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana kerajaan sedar tindakan itu pada masa sekarang hanya akan membebankan lagi keadaan rakyat.


Katanya, spekulasi tersebut jika dilayan akan menyebabkan pengguna panik.


“Keadaan ini bahaya kerana pihak-pihak tertentu seperti pemborong dan peruncit akan mengambil kesempatan terhadap situasi tersebut,” katanya.


Dalam pada itu Ismail Sabri berharap empat akta iaitu Akta Jualan Langsung, Akta Sewa Beli, Akta Kawalan Harga dan Akta Perlindungan Pengguna akan dapat dipinda pada sesi Dewan Rakyat akan datang.


Katanya, satu lagi akta iaitu Akta Persaingan yang kini sudah berada di peringkat akhir penggubalan sebelum dibentangkan ke Kabinet juga diharap akan dapat dibentangkan di Dewan Rakyat nanti.


Mengenai Rang Undang-Undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang tidak akan dibentangkan di Dewan Rakyat ekoran mendapat bantahan banyak pihak, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperhalusi perkara itu sebelum sebarang keputusan dibuat.


Beliau berkata, pandangan rakyat mengenai pelaksanaan GST akan tetap diambil kira dalam apa juga keputusan yang akan dibuat kerajaan.


Terdahulu dalam ucapannya Ismail Sabri berkata, hanya 58 peratus daripada rakyat Malaysia sedar tentang hak mereka sebagai pengguna.


“Daripada kajian kementerian, hanya 32.5 peratus sedar bahawa mereka mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna manakala 24 peratus mengakui tidak akan berbuat apa-apa untuk mempertahankan hak mereka sebagai pengguna,” katanya.


Jelasnya, kementerian akan terus mempertingkatkan program pendidikan dan kesedaran kepada rakyat supaya mereka tahu dan faham tentang hak masing-masing sebagai pengguna.




Komen Isac;



Diharap jaminan ini bukan hanya sekadar "janji kosong". Sememangnya lidah tidak bertulang.....Kerajaan, di bawah Kementerian yang bertanggung-jawab perlu mempastikan perkata ini menjadi kenyataan....Banyak kejadian terdahulu, harga barangan tetap naik walaupun Kementerian berkaitan telah memberikan jaminan yang serupa. Penulis berharap agar Ismail Sabri akan lebih bertanggung-jawab daripada Tok-tok Menteri sebelum beliau.



No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.