15 Dec 2009

Emas Bola Sepak ? Misi Balas Dendam Terhadap Vietnam...


VIENTIANE – Skuad bola sepak kebangsaan menempa sejarah apabila mara ke perlawanan akhir selepas mencatat kemenangan bergaya 3-1 ke atas pasukan tuan rumah pada aksi separuh akhir Sukan SEA XXV, semalam.


Kemenangan itu mengulangi pencapaian pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur ketika Malaysia kali terakhir mara ke final acara bola sepak Sukan SEA. Malaysia akan menentang Vietnam Khamis ini pada pukul 6 petang waktu Malaysia.


Vietnam layak ke perlawanan akhir selepas membenam Singapura 4-1 pada satu lagi perlawanan separuh akhir semalam. Pada perlawanan semalam, jaringan menarik Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 memastikan penguasaan Malaysia pada separuh pertama.


Namun, pasukan tuan rumah bangkit di babak kedua dan akhirnya memperoleh jaringan penyamaan hasil rembatan jauh Kanyala Sysomvang pada minit ke-72. Apa pun, Baddrol pantas meletakan Malaysia sekali lagi mendahului 2-1 menerusi jaringannya pada minit ke-78.


Safiq Rahim menamatkan sisa-sisa peluang Laos yang beraksi di depan lebih 20,000 penyokong di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos, dengan gol ketiga pada minit ke-84. Mengulas kemenangan tersebut, jurulatih K. Rajagobal berkata, Malaysia berhak ke perlawanan setelah para pemain memberikan permainan penuh bertenaga.


Katanya, para pemain mempamer kesungguhan di sepanjang perlawanan dan berjaya memperbaiki permainan longgar untuk memastikan kemaraan ke perlawanan akhir. “Kami menguasai perlawanan sehingga mendapat gol pertama. Namun pada babak kedua para pemain hilang tumpuan dan rentak perlawanan seketika sehingga membenarkan jaringan penyamaan pasukan tuan rumah.


“Namun, para pemain kembali mendapatkan tempo permainan tidak lama selepas itu dan akhirnya berjaya menjaringkan dua gol. “Kemenangan ini amat bermakna kerana ia dicatat ketika saya berdepan masalah ketiadaan beberapa pemain tonggak yang digantung di bahagian depan. “Mungkin kerana kekurangan pilihan pemain di bahagian depan mendorong pemain di jentera serangan ini beraksi bermati-matian,” katanya. – Utusan

Komen Isac;
Semoga mereka akan dapat menggunakan peluang beraksi di akhir ini dengan baik, supaya dapat menjadi batu loncatan untuk menaikkan martabat bola sepak negara. Selain matlamat menjadi juara, mereka juga berpeluang melunaskan "dendam" kekalahan di peringkat kumpulan, ketika tumpas dengan "bantuan" pengadil perlawanan kepada Vietnam 3 : 1.
Tiada alasan untuk kalah dengan semua pemain kini boleh beraksi untuk final. Malaysia Boleh!!!

No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.