13 Dec 2009

Tengku Razaleigh Hamzah Dakwa Malaysia Negara "Sumpahan Minyak"???


Sumber Sinar Harian



KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah berkata, Malaysia sudah menjadi negara ’sumpahan minyak’ di mana hasil buminya itu tidak digunakan untuk tujuan asal penubuhan Petronas, tetapi dibazirkan kerajaan. Menurutnya, hasil minyak yang sepatutnya menjadi warisan kekayaan untuk semua rakyat Malaysia dan generasi akan datang, sebaliknya digunakan untuk menunjangi pemerintahan autoritarian, menghakis Demokrasi Berperlembagaan dan korup keseluruhan golongan elit politik dan perniagaan.



“Pada tahun 1974, sewaktu saya mengasaskan Petronas, saya tidak menyangka suatu hari nanti saya akan merasa lebih baik kita tidak menemui kekayaan tersebut,” katanya sewaktu berucap di sidang kemuncak ahli korporat muda Malaysia di Menara Integriti, di sini, semalam. Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, anugerah minyak yang sepatutnya digunakan untuk memacu peralihan negara kepada masyarakat yang lebih terpelajar, kini hanya simbol kosong seperti Menara Petronas.



“Tujuan awal penggunaan simpanan minyak Malaysia ialah untuk membantu negara melonjak daripada ekonomi yang berasaskan komoditi dan pemasangan kos rendah, kepada ekonomi yang lebih dipelbagaikan, berasaskan kepada pekerjaan berpendapatan tinggi,” kata bekas Naib Presiden UMNO itu. Tengku Razaleigh berkata, hasil minyak negara yang sepatutnya digunakan mengikut rancangan sewaktu Petronas ditubuhkan menjadi dana yang dibelanjakan sesuka hati oleh sesiapa saja yang mentadbir negara, tanpa sebarang pertanggungjawaban.



“Kekayaan minyak negara dibazirkan dan digunakan untuk menyelamatkan syarikat yang gagal. “Perolehan minyak tidak digunakan untuk membasmi kemiskinan di negeri-negeri miskin, sebaliknya disalurkan untuk tujuan politik dan golongan yang ada kaitan dengan politik,” katanya.



Komen Isac;


Adakah dakwaan tersebut ikhlas? Ataupun sekadar kenyataan "politik" yang bermotifkan dendam kesumat? Hanya masa yang akan menjadi saksi...

No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.