1 Sept 2009

Sambutan kemerdekaan negara ke-52 dipenuhi semangat 1Malaysia

Isnin Ogos 31, 2009
Dipetik dari mStar online





RINGKAS NAMUN MERIAH...(dari kanan) Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan menteri-menteri kabinet melihat perarakan hari kemerdekaan ke-52 yang diadakan di dataran Parlimen Kuala Lumpur, hari ini.--fotoTHE STAR oleh Kamarul


KUALA LUMPUR: Biarpun ringkas dan sederhana, impak sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara peringkat nasional hari ini tidak kurang dan tetap bersemarak dengan semangat 1Malaysia apabila pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum dan keturunan bersama-sama meraikanya.


Bertemakan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan', perayaan Hari Kemerdekaan kali ini mencipta sejarahnya tersendiri apabila buat julung kali di dalam sejarah sambutannya diadakan di Dataran Parlimen, yang menjadi simbol demokrasi berparlimen di negara ini।


Dataran Parlimen yang sering menjadi lokasi acara menyambut pembesar-pembesar dari negara luar dalam upacara penuh adat istiadat, hari ini diwarnai dengan persembahan para peserta yang berpakaian warna warni serta anggota pasukan keselamatan yang segak di dalam uniform masing-masing।


Perhimpunan perbarisan bermula sebaik sahaja keberangkatan tiba Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tepat pukul 8 pagi.


Kira-kira 10 minit sebelum itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri Puan Sri Norainee Abd Rahman tiba di perkarangan Parlimen.


Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 10,000 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan kira-kira 1।38km, bermula daripada Bulatan Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga ke perkarangan Dataran Parlimen.


Kontinjen pelambai antaranya terdiri daripada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) (210 orang), kementerian dan agensi awam (300), 28 kontinjen badanbadan berkanun (300), kontinjen swasta (992), kontinjen pelatih institut perguruan seluruh Malaysia (3,500) dan kontinjen khalayak kelolaan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (5,000).


Sebaik tiba, Yang diPertuan Agong mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Mejar Zailani Mohd Okhtat.


Pada masa yang sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.


Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Radzi Othman.


Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das sebelum bacaan ikrar Rukun Negara dilafazkan oleh tujuh orang warga pendidik yang mewakili kaum-kaum utama di Malaysia diketuai oleh Norazmi Baba.


Bacaan ikrar turut diiringi sejumlah 52 peserta yang juga warga pendidik, berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik kemerdekaan negara yang ke-52.


Turut sama melafazkan ikrar ialah 500 anggota kontinjen keselamatan dari pasukan Tentera Darat, TUDM, TLDM, PDRM dan APMM yang diketuai Leftenan Kolonel Hishamudin Jumat Abas Jumat.


Laungan "merdeka" sebanyak tujuh kali, diikuti laungan "1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" kemudiannya bergema di seluruh kawasan, turut disambut oleh orang ramai yang tidak melepaskan peluang mengikuti upacara gilanggemilang itu di kawasan luar Parlimen.


Sambutan kali ini turut diserikan dengan nyanyian koir daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteriisteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang mendendangkan lagu patriotik "Malaysia Tanah Airku".


Sebagai persembahan penutup, nyanyian koir Suara Warisan (Koswa), TLDM, Lumut menyemarakkan lagi Jalur Gemilang dan 1Malaysia bagi mengiringi persembahan 200 peserta persembahan rakyat yang menampilkan pelbagai gerak tari budaya.


Sambutan yang berlangsung kirakira 40 minit itu hanya memperlihatkan elemen penting seperti perbarisan dan persembahan rakyat tanpa perarakan besarbesaran dan penglibatan kontinjen kanakkanak sekolah seperti tahuntahun sebelum ini, berikutan kebimbangan penularan wabak influenza A(H1N1) dan bagi menghormati bulan Ramadan. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.