14 Aug 2009

Perjalanan "Terakhir" Ustaz Asri - "Pergi Tak Kembali"






KUALA LUMPUR: Vokalis utama kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim yang pengsan tiba-tiba ketika latihan rakaman program Syahaddah di Angkasapuri, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung, kira-kira jam 11 pagi semalam. Beliau berusia 40 tahun.Asri yang juga ketua kumpulan nasyid terkemuka itu, pengsan pada kira-kira jam 10.30 pagi sebelum dibawa ke Pusat Perubatan Pantai (PMC) di Bangsar untuk pemeriksaan.Menurut adik iparnya, Adha Buyong, Allahyarham yang dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.“Saya menerima panggilan kira-kira jam 10.30 pagi yang memaklumkan abang ipar saya pengsan. Pagi tadi (semalam) memang abang Asri mengadu tidak sihat dan muntah-muntah, namun dia tetap meneruskan kerja untuk program Syahadah di RTM (Radio Televisyen Malaysia),” katanya ketika ditemui di PMC di sini.



Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Kampung Bukit Lancung, Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 21 selepas Maghrib.Sementara itu, Penerbit dan Penyelaras Program Syahadah, Ibrahim Zaidi Ismail, berkata beliau terkejut melihat Asri tiba-tiba jatuh sebelum program itu bermula.“Kira-kira 10.30 (pagi), Asri masuk dalam studio. Sebelum kejadian Asri sedang memegang mikrofon, bagaimanapun beberapa saat sebelum program bermula dia rebah ke lantai,” katanya sebak.Beliau berkata kematian Asri meninggalkan kesan kepadanya kerana semalam hari pelancaran program Syahadah sempena Ramadan.“Tahun ini tahun kelima Asri terbabit dalam program kami. Beliau dipilih sebagai penyeri majlis dan sebagai penyanyi untuk menyanyikan lagu tema program Syahadah. Saya akan ingat tarikh hari ini sampai bila-bila,” katanya.Asri menyertai kumpulan nasyid sembilan anggota itu sejak penubuhannya pada 1 Mac 1997. Anggota lain kumpulan itu termasuk Mohd Asri Baidul @ Ubaidullah dan Azadan Abdul Aziz. — Bernama.



Foto: ALLAHYARHAM bersama isteri dan anak tercinta (dari kiri) Sofiyah Munawarrah, Nor Afikah, Mohd. Ilham, Mohd. Fathi, Halizah Shahzan, Hamdi Rabbani dan Najmuddin.








Foto: Pusara Allahyarham Ustaz Asri yang selamat dikebumikan,... diperhatikan oleh keluarga dan anggota kumpulan Rabbani




Komen Isac;



Suatu kehilangan besar kepada industri muzik berirama nasyid. Allahyarham seorang yang sederhana, mudah tersenyum dan tertib bila berbicara. Walaupun hadir memberikan persembahan nasyid di pentas kerajaan maupun pembangkang, tidak pernah terdengar beliau menyatakan pendirian politik beliau.



Atas sikap tersebut saya percaya beliau begitu disenangi oleh seluruh rakyaat Malaysia, terutamanya yang beragama Islam.





Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh.....Amin ya Rabbal Alamin...








No comments:

Post a Comment

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.