24 Jul 2009

Gerhana Matahari - Benua Asia Gelap. Tanda Kebesaran Ilahi.

PERINGKAT pergerakan gerhana matahari dilihat di Guwahati, Assam, India semalam.

Berjuta penduduk diselubungi ketakutan, sembunyi dalam rumah TAREGNA (INDIA): Gerhana matahari paling lama pada abad ke-21 semalam menyebabkan sebahagian besar benua Asia bertukar gelap gelita selepas fajar ketika berjuta penduduk keluar untuk menyaksikan fenomena sekali seumur hidup itu. Seorang wanita terbunuh dalam satu kejadian rempuhan di sungai Ganges di India, di mana penganut Hindu berkumpul untuk menyaksikan fenomena itu. Berjuta yang lain, diselubungi ketakutan, menyembunyikan diri mereka di dalam rumah.
Dipetik dari Berita Harian Online






GERHANA matahari dilihat di barat daya China pada jam 9.16 pagi, hari ini. Rakyat Asia berpeluang menyaksikan gerhana matahari terpanjang pada abad ke-21. - Foto AP/Reuters
Jul 22, 2009 10:19 am

GAMBAR gerhana matahari dalam pelbagai peringkat yang dirakam di dua lokasi di Gauhati, India, semalam. - AP

VARANASI, India 22 Julai - Gerhana matahari paling lama pada abad ke-21 menjerumuskan berjuta-juta penduduk di serata Asia ke dalam kegelapan sementara hari ini, mencetuskan suasana keagamaan, ketakutan dan keseronokan di seluruh India dan China.


Peluang yang datang sekali seumur hidup itu dipercayai menjadi gerhana yang disaksikan paling banyak orang dalam sejarah disebabkan laluannya yang meliputi kawasan paling padat dengan penduduk di muka bumi. Namun peluang itu dibiarkan berlalu oleh berjuta-juta lagi yang berkurung di dalam rumah kerana mempercayai fenomena tersebut membawa petanda buruk.


Seorang wanita terbunuh dalam kejadian rempuhan di kota suci Hindu, Varanasi di mana puluhan ribu penganut agama itu berhimpun di tebing Sungai Gangga sejak subuh lagi. Polis berkata, wanita berusia 80 tahun itu pitam semasa pengunjung berasak-asak untuk memasuki sebuah kuil dekat tebing sungai tersebut, kemudian meninggal dunia akibat sesak nafas. Kejadian itu mencetuskan panik yang turut menyebabkan lebih 20 orang lain cedera.


Gerhana matahari penuh selalunya berlaku setiap 18 bulan tetapi gerhana hari ini istimewa kerana tempoh kegelapan 'menyeluruh' yang maksimum selama enam minit dan 39 saat apabila matahari dilindungi seluruhnya oleh bulan. Tempoh gerhana penuh selama itu hanya akan berulang pada 2132.


Stesen rasmi China Central Television membuat liputan secara langsung tentang peristiwa yang dipaparkannya sebagai 'Gerhana Matahari Sungai Yangtze' kerana laluan fenomena itu meliputi lembangan saliran sungai tersebut. Berjuta-juta penduduk di beberapa kawasan di barat daya China berpeluang menyaksikan fenomena itu dengan jelas, tetapi pemandangan di sebahagian besar laluannya terjejas disebabkan awan mendung.


Penduduk di Shanghai tidak mempedulikan hujan dan cuaca mendung untuk menyaksikan gerhana itu apabila kegelapan mula menyelubungi pusat perdagangan China tersebut pada 9.36 pagi (waktu sama di Malaysia). "Sekarang waktu kerja, tetapi kami tidak mahu melepaskan peluang untuk menyaksikan pemandangan yang begitu menakjubkan. Pengalaman ini sungguh menyeronokkan," kata seorang pekerja di Shanghai, Allen Chen yang keluar ke jalan raya untuk menyaksikan peristiwa itu.


Mereka yang mampu membeli tiket mahal untuk menaiki pesawat sewa khas yang disediakan oleh agensi pelancongan untuk membawa mereka menyaksikan gerhana tersebut bagi tempoh yang lebih lama dengan mengejar bayangnya menghala ke timur. Bayang atau umbra yang dihasilkan oleh gerhana penuh itu mula kelihatan di negeri Gujarat, barat India sejurus sebelum 6.30 pagi ini (9 pagi waktu Malaysia.


Ia kemudian merentasi India dan meliputi kawasan di antara Bangladesh dan Nepal sebelum menyelubungi sebahagian besar Bhutan, merentasi tanah besar China dan menghala ke laut dekat Shanghai. Dari sana ia bergerak merentasi pulau-pulau dekat selatan Jepun sebelum membelok ke barat Pasifik. - AFP

Dipetik dari Utusan Online

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm

Komen Isac;

Sama-samalah kita nikmati satu lagi tanda kebesaran Ilahi. Gerhana Matahari selama ini dianggarkan hanya akan berlaku lagi pada tahun 2132 ataupun 123 tahun dari sekarang. Saya berani katakan tidak ada seorangpun dari kita yang akan sempat melihatnya nanti.

Jika kita perhatikan di sekeliling kita, ada terdapat banyak tanda-tanda akan kewujudan dan kebesaran Allah s.w.t.. Sebagai orang Islam saya percaya kita sepatutnya lebih mengenali siapa tuhan kita, kerana kita mengenali 20 sifat wajib, 20 mustahil dan satu sifat harusNya. Sesetengah dari kita juga setidak-tidaknya menghafal 99 nama-nama Allah berserta maksudnya sekali ketika di bangku sekolah/kolej.

Saya sendiri walaupun pernah belajar agama di sekolah agama Negeri Johor, hanya mempelajari akan Tauhid Uluhiyyah & Rububiyyah di universiti tempatan. Samada silibus itu kini masih diajarkan di universiti-universti tempatan, saya tidak pasti kerana telah meninggalkan tangga universiti hampir 19 tahun yang lalu.

Itu sedikit sejarah saya, tapi apa yang hendak saya sentuh di sini adalah, walaupun ilmu pengetahuan agama kita tinggi sehingga sesetengahnya bergelar Ustaz, Tok Guru bahkan Mufti sekalipun kita sebagai manusia biasa tidak akan sepi daripada membuat kesilapan maupun kesalahan. Sebab itulah sebagai seorang Islam kita perlu muhasabah diri kita, jika kita membuat hilaf janganlah kesilapan itu membuatkan kita hanyut lebih jauh....

Lihatlah tanda-tanda kebesaran Ilahi, yang terdapat disekeliling kita, ingatlah bahawa syurga, neraka dan hari pembalasan itu adalah nyata (benar), mati itu adalah benar dan segala perbuatan kita akan dihisab dan dibalas diakhirat kelak. Semoga kita akan menjadi muslim yang mukmin. Semoga walau parti manapun yang kita wakili itu tidak akan memisahkan kita kerana sesungguhnya semua umat Islam itu adalah bersaudara dan semua manusia itu asalnya dari dua manusia yang sama iaitu Nabi Adam a.s. dan Ninda Hawa.

Umat Melayu/Islam Mesti Bersatu!!!!!

2 comments:

  1. sejauh manakah disebelah sana nampak dan mahu kepada perpaduan?harapan murni di pandang enteng..

    ReplyDelete
  2. Apapun usaha kena diteruskan Bro....

    Seperti orang yang telah berumur 70 tahun, tetapi dia masih menanam pohon durian...Hasilnya mungkin bukan untuk kita menuainya tetapi jika ianya dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang, apa salahnya kita berusaha dan mencuba?

    ReplyDelete

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.