bumiyang toolbars

Get our toolbar!

Rakan Bumiyang;

Herba Ajaib

28 Sept 2011

Ainuddin Wahid - Melahirkan Ramai Teknokrat Melayu...

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) menurunkan tandatangan simbolik pelancaran buku Ainuddin Pejuang 'Degil' Melayu di Dewan Besar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir Naib Canselor UTM, Datuk Dr Zaini Ujang. - Foto BERNAMA

Beliau telah melahirkan ramai teknokrat Melayu, bermula dari Maktab Teknik di Jalan Gurney (sekarang dikenali sebagai Jalan Semarak). Kemudian Maktab Teknik telah dinaikkan ke taraf universiti dengan nama baru iaitu Universiti Teknologi Malaysia.

Tan Sri Ainuddin bin Abdul Wahid pernah diberikan anugerah Tokoh Maal Hijrah untuk tahun1421H.


Ringkasan;

Fatini Yaacob muncul lagi dengan karya biografi terbarunya. Kalau sebelum ini Fatini memilih watak Natrah yang penuh air mata sebagai subjek tulisannya, karya terkini beliau berpindah kepada seorang tokoh nasionalis yang beliau anggap degil. Fatini mengangkat watak Ainuddin Wahid, tokoh pendidikan tinggi negara dalam seribu warna kehidupannya. Banyaklah kisah di belakang tabir yang didedahkan dalam biografi ini. Ada juga kejutan terselit di sana-sini dalam biografi ini. 
Ainuddin Abdul Wahid berasal dari Teluk Intan. Ayahnya, Abdul Wahid Badu seorang guru lepasan Maktab Perguruan Matang. Datuknya Badu, pula adalah orang Mandailing yang kuat bekerja setelah belayar meninggalkan Kampung Sipirok, di Selatan Medan. Kerajinannya bekerja kuat di lombong bijih timah telah menambat hati pihak istana. Beliau dikurniakan sebidang tanah yang dapat pula diusahakannya untuk pertanian.



Seluruh biografi ini mendedahkan kedegilan Ainuddin dalam pekerjaannya untuk memajukan bangsa Melayu. Keutamaan Ainuddin ialah bagi menggandakan jumlah lulusan dan profesional Melayu dalam semua bidang. Kegilaan Ainuddin ialah pada kuota dan angka anak Melayu yang masuk ke universiti. Kerana kedegilan, keutamaan dan kegilaannya yang terlalu tertumpu kepada anak bangsanya, Ainuddin mengabaikan keperluan dirinya sendiri.

Ainuddin tergolong dalam kalangan sejumlah kecil Naib Canselor yang panjang tempoh perkhidmatannya. Sebelum itu beliau berkhidmat 13 tahun dengan Jabatan Kerja Raya (JKR). Pada 1969 ketika berusia 40 tahun, Ainuddin dipinjamkan menjadi Pengetua Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL), menjadi Rektor Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan kemudiannya menjadi Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Sewaktu kecil Ainuddin bersekolah di Sekolah Melayu Lelaki Telok Anson. Pada sebelah petang beliau mengaji fardu ain di Madrasah Insaniah. Kemudian Ainuddin memasuki Anglo Chinese School Telok Anson hingga tamat darjah sembilan. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah workshop JKR. Ainuddin tertarik melihat pekerja di workshop itu yang ayahnya menyebutnya sebagai engineer. Itulah kali pertama dalam hidupnya beliau mendengar kalimat engineer. Sejak itulah terbetik impiannya untuk menjadi seorang engineer.


Jurutera

Ainuddin tidak lama di MCKK. Pengajiannya di situ tidak akan membawanya menjadi seorang jurutera. Dalam tahun yang sama, 1949, Ainuddin berpindah menyambung pengajiannya di Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL). Ketika itu, tidak ramai anak Melayu yang bermimpi untuk menjadi jurutera. Maka cuma Ainuddin seorang sajalah daripada sekolahnya yang masuk ke MTKL.

Pada tahun 1953 Ainuddin belayar dengan kapal menuju United Kingdom untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan. Hampir sebulan kemudian beliau pun menjejakkan kakinya di Universiti Bristol. Pada 1956 beliau pun lulus untuk menjadi seorang jurutera awam. Beliau perlu bekerja sebelum dibenarkan pulang. Ini bagi melengkapkan dirinya dengan pengalaman. Dalam tempoh itulah Ainuddin sering bertemu dengan pemimpin UMNO yang sering datang dan pergi bagi merundingkan kemerdekaan dengan British. Beliau menjadi akrab dengan Datuk Abdul Razak dan ramai pemimpin lain. Hubungan inilah yang memudahkan Tun Razak kemudian melantik Ainuddin menerajui MTKL dan kemudiannya UTM.

Setelah kembali ke tanah air, Ainuddin mula bekerja dengan JKR di Kuantan selama sembilan bulan pada 12 Ogos 1957. Kemudian beliau bertukar ke Temerloh dan bekerja selama tiga bulan sebelum menjadi Penolong Jurutera Daerah di Batu Pahat pada 1958.

Fatini Yaacob dalam biografi ini turut menyingkap peranan yang dimainkan oleh Ainuddin dalam pelbagai pergerakan belia ketika zaman mudanya. Ainuddin seorang yang mengkagumi Aminuddin Baki. Aminuddin Baki melancarkan Persatuan Pelajar-pelajar Melayu Insaf (PERMI) di Ipoh pada 1946. Ainuddin menubuhkan cawangan PERMI di tempat beliau. Selain itu Ainuddin juga terlibat secara langsung dalam Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung -GPMS dan Persatuan Perikatan Melayu Perak (PPMP), dan Persatuan Melayu Perak. Sayangnya Aminuddin Baki yang dikaguminya lebih awal meninggal dunia.


Profesional

Menjelang 1966 Ainuddin Abdul Wahid telah pun menjadi Jurutera Kerja Kanan di Ibu Pejabat JKR di Kuala Lumpur. Dengan berlakunya rusuhan kaum 13 Mei 1969, timbul keperluan meningkatkan jumlah profesional Melayu. Ada tekanan supaya lebih banyak pelajar Melayu diberi peluang melanjutkan pengajian peringat tinggi. Institusi pengajian tinggi yang ada ketika itu cumalah MTKL. Akan tetapi di MTKL, anak Melayu didiskriminasi.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyampaikan memo kepada Menteri Pelajaran mendesak supaya melantik seorang profesional Melayu bagi mengetuai MTKL. Mereka mencadangkan nama Ainuddin Abdul Wahid. Cakap-cakap supaya Ainuddin Wahid dipinjamkan ke MTKL pun semakin rancak. Akhirnya Tun Razak bersetuju dengan cadangan itu dan Ainuddin pun dipinjamkan ke MTKL pada 1 Ogos 1969.

Dengan kepimpinan dan kebijaksanaan Ainuddin, MTKL dinaik taraf menjadi Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) setaraf ITB di Bandung ada 1972. Kemudian, institusi itu melonjak pula menjadi Universiti Teknologi Malaysia pada 1975. Dalam tempoh kepimpinannya yang panjang di UTM itulah Fatini memperlihatkan babak-babak kedegilan Ainuddin Wahid dalam pentadbirannya. Banyak perkara yang menimbulkan isu sepanjang pentadbiran Ainuddin di UTM. Daripada isu pemakaian jubah dan songkok graduan hinggalah kepada isu penerapan ilmu berteraskan Tauhid.

Ainuddin mewarisi ketegasan dan kegarangan Cikgu Wahid yang terkenal kerana kerajinannya mengejar pelajar yang ponteng sekolah di Telok Anson. Demikianlah watak yang telah berjaya membawa UTM ke mercu tanda pengajian tinggi negara. Itulah formula yang telah berhasil melahirkan ribuan graduan, golongan profesional dan teknokrat Melayu. Inilah orangnya yang telah mengubah nisbah pelajar Melayu dan bukan Melayu di UTM daripada 10:90 menjadi 90:10. Siapa lagi kalau bukan Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid yang degil, ketegar dan keras kepala ini.

Banyak babak awal yang telah menambat hati Tun Razak bagi melantik Ainuddin memimpin UTM diceritakan oleh Fatini dalam biografi ini. Maka, amat wajarlah biografi ini dilancarkan pula oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Selasa (kelmarin) di Kampus UTM Jalan Semarak di Kuala Lumpur. Ainuddin Wahid adalah seorang tokoh Melayu yang terbilang dan besar sumbangan baktinya kepada negara dan bangsa. Bangsa yang mulia, menghormati sumbangan tokohnya.


Komen Isac;

Penulis juga tabik spring kepada beliau. Kini lulusan UTM ada di mana-mana dan tidak keterlaluan jika penulis katakan amat ramai teknokrat Melayu pernah belajar di Maktab Teknik mahupun UTM.

8 comments:

  1. Terima Kasih... dan saya adalah antara ribuan lepasan Institut Teknolgi Kebangsaan (ITK) yang kemudiannya menjadi UTM. Masa masuk nama ITK..(1975) dan keluar masa UTM (1977).. Diploma Kejuruteraan Awam.., kemudiannya melanjutkan pelajaran di USA dan UK untuk BSc Engineering dan MSc Engineering... Alhamdulillah.

    TS Aminuddin Wahid, bila berucap, membahasakan kami pelajar/mahasiswa sebagai 'wahai anak2...' Jasa mu, TS, amat besar kepada Islam dan Malaysia..! Hanya Allah yang dapat membalas kebaikan TS....

    ReplyDelete
  2. Ketika belajar di UTM (1984-89), Naib Canselor Tan Sri Ainuddin dalam setiap ucapannya memanggil semua pelajar-pelajar UTM sebagai anak-anaknya. Semua bangga kerana dapat jadi anak-anak Tan Sri masa itu.
    Jasa Tan Sri akan dikenang selama-lamanya.

    ReplyDelete
  3. Jadi tuan2 berdua adalah senior saya. Masa saya masuk UTM tahun 1985, kami cuma perlu bayar RM 80.00 semasa pendaftaran. Dah tu pulak RM 10.00 diperuntukkan untuk membuka buku ASN (kini dinamakan ASB).

    Nak sedap lagi, makan dan sewa asrama selama hampir dua semester, hutang dulu. Dapat biasiswa baru tolak.... Begitulah Tan Sri Ainuddin dan UTM membantu pelajar2 kampung suatu ketika dahulu...

    Ironinya bila dah naik tahun 2, 3, 4 & 5, bila biasiswa terlewat, ada pulak di antara pelajar yang berlagak pandai kononnya mereka dak merujuk kepada pihak JPA, mendapati biasiswa sudah dilepaskan kepada UTM, cuma pihak UTM yang simpan untuk ambil bunga. Lepas tu buat demonstrasi dan piket depan pejabat bendahari...

    Protes.... Perangai dah macam pembangkang lah pulak!!! Menggigit tangan yang menyuapkan mereka makanan...

    ReplyDelete
  4. Siapakan penerus semangat Tan Sri Ainuddin kini?

    ReplyDelete
  5. Utk meneruskan agenda ketuanan melayu, kita perlu ramai pejuang spt Ainuddin Wahid. Pejuang boleh datang dari pelbagai lorong , tak semestinya melalui politik.COntoh spt Tan Sri yg datang dari teknikal.
    Saya telah membeli buku beliau dan kagum dgn cara beliau merevamp UTM hingga pelajar melayu menjadi dominan di sana.Masalah sekarang terlalu ramai teknokrat , korporat melayu yg dah lupa kemelayuan mereka kerana leka dgn kemewahan dan kuasa hingga lupa akan t/j utk membangunkan anak melayu.Ini ditambah lagi dgn sikap melayu dalam PAS, PKR apatah lagi DAP yg bakal meranap orang melayu hingga menerima nasib spt melayu SIngapura..

    ReplyDelete
  6. sy juga anak UTM! masuk tahun 2001. Alhamdulillah grad & berkerja di salah sebuah international bank. terima kasih atas dasar2 kerajaan selama ni yg memastikan anak2 melayu berjaya!

    ReplyDelete
  7. Alfatihah untuk almarhum yang disanjungi. Aku pernah belajar di UTM (1977/78/79) semasa di abwah naungan almarhum. Tegas dan berdisplin. Walaupun aku gagal dan keluar dari UTM tanpa segulung ijazah atau diploma, aku tetap bangga dan bersyukur diberi peluang belajar di sana. Pengalaman pahit yang mengajar aku tentang hidup.

    ReplyDelete
  8. Salam kepada empunya blog. Saya mohon keizinan menyalin artikel di atas untuk dimuatkan dalam blog saya. Terima kasih.

    ReplyDelete

Komen-komen anda adalah dialu-alukan tetapi komenlah dengan bertanggung-jawab dan berhemah. Komen-komen yang keterlaluan, mencarut & makian mungkin akan ditapis. Apapun anda sendiri perlu bertanggung-jawab di atas komen-komen yang anda berikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Blog List 1

My Blog List 3