28 Jun 2009

Pesan Mufti Perak - Jangan ikut etika syaitan


Dipetik dari Utusan Malaysia Online


SEPERTI diduga, apabila Mufti Perak, TAN SRI HARUSSANI ZAKARIA mengeluarkan kenyataan mengkritik gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam, beliau telah menerima kecaman yang hebat.

Pandangan Harussani tidak lagi dilihat sebagai pendapat seorang ulama yang harus dihormati tetapi beliau dikecam dan dituduh sebagai menyokong UMNO. Segalanya berlaku apabila Harussani menyuarakan kekesalan berikutan kegagalan merealisasikan kerajaan perpaduan Pas dan UMNO. Beliau diserang habis-habisan di dalam blog-blog tetapi beliau tidak peduli semua itu.

‘‘Saya bercakap yang hak (benar), dalam Islam mengeratkan silaturahim antara saudara Islam adalah wajib, jadi saya hairan daripada rujukan mana sesetengah pihak itu ambil sehingga sanggup mencela saudara seagama,” katanya dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR dan MOHD. RADZI MOHD ZIN di pejabatnya di Ipoh, Perak.

Walaupun sekali sekala dalam berhujah, Harussani menyelitkan kata-kata gurauan namun nada beliau sentiasa serius apabila menekankan soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Bagi Harussani, masa depan golongan itu dalam semua bidang termasuklah politik akan berhadapan dengan bahaya, jika mereka terus berpecah belah.

Harussani juga kecewa kerana ada sesetengah ahli politik begitu mudah mengeluarkan hujah yang mengelirukan dan mencela sesama Islam. Oleh itu beliau mengingatkan dalam apa pun perkara berkaitan hubungan sesama Islam, jangan sesekali mengikut etika syaitan.

Wawancara;

MINGGUAN: Apa pandangan Tan Sri berhubung kegagalan pembentukan kerajaan perpaduan, yang sekali gus menggagalkan usaha untuk menyatukan umat Islam di dalam UMNO dan Pas?

HARUSSANI: Sebagai orang Islam kita berpegang kepada Rukun Iman dan salah satunya ialah percaya kepada Allah, yang bererti kita mengucap dua kalimah syahadah, apabila kita mengucap dua kalimah syahadah kita masuk kumpulan muslim.

Apabila kita sudah masuk dalam kumpulan muslim, Allah sudah 'ikat' kita melalui firman-Nya dalam surat al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang Muslim itu adalah bersaudara kerana ini damaikanlah antara keduanya saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah semoga kamu mendapat rahmat-Nya."

Manakala Rasulullah SAW pula pernah bersabda bahawa, orang muslim itu adalah saudara bagi orang muslim yang lain, kemudian Nabi kata, siapa sebenarnya orang muslim itu, orang-orang muslim yang selamat daripada keburukan lidahnya dan keburukan tangannya. Maka itu Rasullullah sendiri dalam membentuk ajaran Islam baginda mempersaudarakan orang Islam.

Maknanya, itulah perjuangan utama kita iaitu mesti mempersaudarakan sesama orang Islam. Ia adalah perbuatan yang sebagaimana dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya bermaksud: … dan peliharalah hubungan silaturrahim… (an-Nisa': 1).

Oleh itu, kalau kita memecah belah orang Islam itu bukan ajaran Islam, itu ajaran syaitan. Tuhan sudah sebut bahawa syaitan itu bertujuan untuk membangkitkan di antara kamu permusuhan dan pergaduhan. Jadi pada saya, perpaduan itu adalah sesuatu yang cukup mustahak, perkara pokok yang wajib kita usahakan dalam apa bentuk pun. Berdasarkan kepada hujah itu, saya berpendapat, idea kerajaan perpaduan adalah satu idea yang cukup baik dan saya amat bersetuju dengan langkah tersebut.

Kalau kita lihat pada waktu ini, apabila orang Islam berpolitik, mereka berpecah sesama mereka. Ini berbeza dengan kaum lain, orang Cina contohnya, mereka pun berpolitik tetapi walaupun berada dalam parti yang berbeza-beza, mereka bersatu, ertinya mereka berpecah untuk mendapatkan sesuatu sedangkan kita berpecah untuk menghilangkan sesuatu

Mereka (orang Cina) berpecah supaya banyak suara atau banyak jurusan bagi membolehkan mereka menuntut sesuatu demi kepentingan bangsa mereka, begitu juga dengan kaum India, mereka berpecah supaya mereka mempunyai banyak jalan bagi menyuarakan tuntutan atau pandangan. Tetapi bagaimana dengan orang Melayu? Kita memaki hamun sesama kita dan berpatah arang, berkerat rotan. Ini adalah satu perbuatan yang cukup buruk sekali. Ini bukan daripada etika Islam bahkan ia etika syaitan. Maka itu saya cukup kecewa apabila orang Islam sendiri menolak perpaduan dan lebih mementingkan perpaduan dengan bangsa asing daripada bersama orang Melayu.

Kita jangan lupa kedudukan Melayu dalam negara ini, hanya berapa peratus sahaja. Mungkin kalau kita bandingkan dari segi pecahan Islam dan bukan Islam, mungkin 50-50. Ia bermakna kalau kita berpecah suara kita menjadi minoriti, jadi bila kita hendak berjaya?

Dalam masa 18 tahun kebelakangan ini, ekonomi orang Melayu tidak bergerak, kaum Cina meningkat kepada 42 peratus, India (35 peratus), orang Melayu sudah 18 tahun tidak meningkat.

Dalam 18 tahun itu juga, orang India yang sebelum ini berada di bawah orang Melayu kini naik mengatasi orang Melayu, kaum Cina yang sudah tinggi, kini melonjak, orang Melayu ketinggalan di belakang. Oleh itu, kalau kita berpecah lagi, keadaan umat Islam akan menjadi bertambah buruk. Allah sudah menyatakan perkara ini dalam al-Quran melalui firman-Nya yang mengingatkan kita bahawa jangan kamu berpecah, kamu akan gagal dalam hidup ini. Akan hilang wibawa kamu dalam masyarakat. Itu Tuhan sudah sebut terang-terang, kenapa kita memilih jalan perpecahan, ini yang saya paling kecewa.
MINGGUAN: Tetapi Pas tidak mahu bekerjasama dengan UMNO kerana mendakwa pernah ditipu suatu ketika dahulu, apakah ini wajar?

HARUSSANI: Tak kan kerana perkara itu, ia tidak boleh dimaafkan? Kalau itu satu pengalaman tidak bolehkah kita baikinya supaya tidak berulang? Kita sudah ada perjanjian bagi memastikan perkara itu tidak berlaku lagi. Anak kita pun kadang-kadang buat salah dengan kita tetapi kenapa kita boleh makan bersama semula dan boleh beri nasihat? Allah pun menyeru memohon keampunan kepada-Nya dan menyuruh kita bermaaf-maafan.

Jadi tak kanlah hanya kerana satu peristiwa itu, kita hendak menjadikan sandaran, apakah kita hendak hancur? Ini yang menjadi masalah. Atau kita hendak pakai juga pepatah, biar papa asal bergaya? Maknanya kita jadi hero tetapi kita kalah, kita kecundang, apa gunanya semua itu.

Saya tidak peduli, apa pun orang nak tuduh bila saya bercakap macam ini. Di Kuala Lumpur, orang-orang muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) kata Mufti Perak sudah masuk UMNO, saya tidak pernah masuk mana-mana parti , UMNO pun tak suka saya.

Kalau UMNO tidak betul, UMNO saya 'bantai', kalau raja tak betul, raja saya 'hentam' saya nak kisah apa. Malah suatu masa dulu, Suharto ketika minum bersama saya, bila dia cakap tak betul dari segi hukum berkaitan faedah (bunga) bank, saya tegur. Pada hal seluruh ulama Indonesia sentiasa menyokong apa sahaja yang beliau kata, tetapi saya tidak.

MINGGUAN: Masalahnya apabila seseorang bertaraf Mursyidul Am dalam Pas bercakap, orang lebih mempercayai kata-katanya biarpun dia mengecam sesama Islam.

HARUSSANI: Kita pun tidak menafikan perangai pemimpin UMNO dahulu, sombong dan berlagak, tetapi sekarang sudah ada kesedaran berhubung kesilapan yang dilakukan. Tetapi kalau kita masih dengan hujah masing-masing, itulah masalahnya. Kita sudah tengok kaum India yang merupakan kelompok kecil sudah mempunyai suara yang cukup kuat tetapi kita semakin lemah kerana berpecah.

MINGGUAN: Bagaimanakah kita hendak satukan orang Melayu, kalau penyokong parti masing-masing terus mengamalkan politik sempit?

HARUSSANI: Kita lupakan soal politik, kita balik kepada agama kita, balik kepada Tuhan kerana Islam menyuruh kita bersatu kerana kita bersaudara sesama Islam, haram memutuskan silaturahim. Kembalilah kepada ajaran Islam jangan terlalu banyak politiking.

Kita berpolitik dengan tujuan mentadbir negara sahaja, bukan untuk berkelahi sesama kita, tetapi malangnya apa yang berlaku sekarang apabila orang Melayu kita masuk politik mereka menjadi taksub. Apabila bersikap demikian maknanya orang lain tak betul dia sahaja yang betul.

Contohnya, krisis politik di Perak, apabila pakatan pembangkang membawa kes itu ke mahkamah, pada mulanya mereka menang, mereka seronok. Kemudian apabila UMNO membuat rayuan dan menang, mereka (pakatan pembangkang) kata ini tidak boleh, ini tidak betul. Persoalannya apakah (keputusan) yang dahulu betul? Tak kan dulu seorang hakim dan sekarang tiga hakim, tiga yang buat salah. Kemudian buat rayuan kepada Mahkamah Agung, lima hakim yang bersidang membuat keputusan yang sama, jadi tak kan kita tidak mahu terima, tak kanlah hakim-hakim itu berat sebelah.

Oleh itu, saya tidak boleh terima tindakan pembangkang tetapi bila saya cakap macam ini mereka kata saya anti Pas, bila keluar kenyataan saya dukacita kerana kerajaan perpaduan gagal, mereka kata patutlah dapat (dianugerah) Tan Sri, sedangkan saya tak tahu fasal 'Tan Sri'. Sebelum ini saya berada di Mekah, balik sahaja ada surat suruh terima, bukan UMNO yang beri tetapi Yang di-Pertuan Agong.

MINGGUAN: Ada pihak mengkritik meminta Tan Sri jangan campur urusan politik, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Saya cuba melihat perjalanan politik mereka dan saya lihat ia tidak betul dari segi syarak, itu yang saya tegur. Begitu juga bila UMNO bersikap tidak adil atau sombong, saya akan tegur. Dalam soal Pas, saya pun tahu sikit-sikit fasal hukum Islam, oleh itu apabila apabila saya melihat tindakan mereka menyeleweng daripada hukum syarak, itu saya tegurlah. Tak kanlah kerana itu pun nak suruh saya masuk UMNO.

Memang saya tidak tahu politik, kalau nak suruh cakap fasal politik, saya tak tahu, suruh cakap fasal ekonomi, saya bukan ahli ekonomi. Sebab itulah kebanyakan ustaz-ustaz yang menjadi ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), apabila orang bahas ekonomi, dia tidak boleh bercakap. Golongan ustaz-ustaz ini hanya tahu soal dakwah, tidak tahu fasal politik. Kita perlu faham politik ini harus tahu semuanya.

Sebab itu saya tidak mahu terlibat dalam politik, kalau mahu dah lama saya boleh berbuat demikian. Saya fikir kalau saya jadi ahli Parlimen atau ADUN, jika orang bercakap perkara saya tak tahu, buat apa. Kita tengok dalam Parlimen, apabila bercakap soal agama Islam ia lebih banyak menyentuh soal zakat, wakaf dan urusan pejabat agama, itu sahajakah? Sedangkan banyak lagi perkara yang boleh dibangkitkan, begitu juga ahli UMNO, kalau soal Islam tanya fasal berapa kutipan zakat, sepatutnya tak perlu tanya, itu kita punya.

MINGGUAN: Adakah dalam soal perpecahan umat Islam ini, para alim ulama harus campur tangan?

HARUSSANI: Selamanya kita sudah memainkan peranan, tiap kali bersyarah saya akan membangkitkan soal perpaduan, soal silaturahim, saya bangkit soal etika permasyarakatan, jangan lupa hukum bermasyarakat kerana kalau kita lupa dan buat silap sikit kita boleh menjadi fasiq, tapi siapa yang peduli?

Ketika memberikan tazkirah sempena lawatan Timbalan Perdana Menteri, semalam (Khamis) saya bercakap sedikit sahaja mengenai sembahyang. Saya tidak kupas berapa rakaat sembahyang, saya tekankan soal firman Allah bahawa sembahyang itu mencegah kamu daripada perbuatan keji dan mungkar. Bila kita sembahyang, pejamkan mata dan cuba lakukan pembetulan dalam diri, apakah kita mempunyai sifat-sifat seperti ego, takbur, sombong, marah, mengumpat orang dengki atau khianat kepada orang lain. Kalau ada sifat itu masa sembahyang kena buang, kalau ada sifat itu ketika sembahyang, maka sembahyang kita tidak terpakai, ini Allah tegaskan dalam Firman-Nya yang bermaksud; Celaka bagi orang yang sembahyang tetapi lari daripada hikmah sembahyang itu sendiri. (al-Maa'uun: 4-5)

Itu semua harus dihapuskan, bila sembahyang lahirlah dia sebagai insan Rabbani. Bila kita tidak ada sifat-sifat tak baik itu, kalau dia menjadi pemimpin ia akan menjadi pemimpin yang adil, pemimpin yang bertimbang rasa, bertanggungjawab dan jujur. Kalau dia seorang bapa dia seorang bapa yang bertanggungjawab, kalau suami dia akan berikan hak kepada isteri dengan sebaik-baiknya, kalau dia isteri dia akan menjaga suami dan anaknya.

MINGGUAN: Adakah kuasa yang menjadi penyebab atau faktor yang tersirat di sebalik yang tersurat menjadi punca keengganan menjayakan kerajaan perpaduan ini?

HARUSSANI: Jika kuasa menjadi matlamat sampai bila-bila pun perpaduan umat Islam tidak akan dapat dicapai dan pelaksanaan kerajaan perpaduan tidak mampu dilakukan. Sepatutnya, kuasa politik yang kita ada itu digunakan untuk mencapai perpaduan, keadilan dan persaudaraan.

Sebab itulah orang Arab tidak boleh menang melawan Israel. Begitu juga apabila setiap negara mengatakan ia lebih kuat daripada yang lain. Contohnya, Libya dan Mesir, sudah beberapa kali mereka berpecah akibat perbezaan politik. Ia berlaku kerana masing-masing merasakan mereka lebih berkuasa, ini masalahnya.

Kalau kuasa itu menjadi matlamat, maka kita tidak akan berjaya tetapi kalau matlamat kita adalah untuk melahirkan kedamaian, persaudaraan dan keadilan itu maka ia akan berjaya.

Dalam soal ini, kedua-dua parti terlibat, UMNO pun kalau mereka melihat kepada kuasa sahaja, ia tak kan ke mana, saya bukan nak kata kepada Pas sahaja.

MINGGUAN: Kalau persengketaan ini berterusan apa yang berlaku kepada orang Islam?

HARUSSANI: Jika ini dibiarkan berterusan, orang Islam akan hancur. Bila berpecah, kita akan jadi lemah dan hilang wibawa termasuk kuasa politik. Jika ini berlaku, hancurlah kita, ini yang saya lihat.

Ada bertanya kenapa saya berani bercakap, Saya hanya bercakap yang hak (benar), apa hendak jadi, jadilah. Politik tidak lagi dilihat sebagai alat tetapi bagi mendapatkan matlamat iaitu kuasa, kalau itu tujuannya habislah orang Melayu dan Islam.

MINGGUAN: Apa yang paling merisaukan ialah keyakinan orang kepada individu bertaraf ulama, akibatnya apa sahaja dia cakap orang akan percaya, biarpun ia boleh memberi kesan yang buruk kepada perpaduan umat Islam, apa komen Tan Sri?

HARUSSANI: Rasulullah pernah mengingatkan takutlah kamu kepada penyelewengan ulama kerana dia mempunyai pengaruh. Tetapi kita sama-sama Islam dan berilmu kita boleh timbang sendiri, jangan kita taksub tak tentu fasal, lepas itu kita gelar orang macam-macam, dari segi syarak itu haram.

Firman Allah: Wahai orang yang beriman, janganlah satu kaum mencela kaum yang lain, boleh jadi mereka yang dicela itu lebih baik daripada yang mencela dan janganlah para wanita mencela wanita yang lain, boleh jadi wanita-wanita itu lebih baik daripada wanita-wanita yang mencela dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri, dan janganlah kamu saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk-buruk… (al-Hurujat: 11).

Tetapi apa yang kita lihat ada panggil orang komunis, ayah pin, ini apa? Tambahan pula yang dengar itu pula orang tak tahu. Contohnya seorang doktor bila dia bagi ubat orang percaya, tok bomoh cerita fasal penyakit barah orang terus percaya sebab dia tok bomoh. Pada hal dia pun tak tahu apa-apa.

MINGGUAN: Islam menerima perbezaan pendapat. Malah al-Quran dalam surah an-Nisa' ayat 59 menjelaskan bagaimana menghadapi perbezaan pendapat. Soalnya, mengapa terdapat parti-parti politik yang terlibat tidak mahu mentaatinya?

HARUSSANI: Dalam ayat itu Allah berfirman yang maksud-Nya, Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan ulil amri, kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian.
Sepatutnya, sebagai saudara seagama, kita patuh kepada arahan Allah. Kita juga wajib patuh kepada pemerintah selagi mana tidak diarahkan membuat maksiat. Kalau tidak taat, maka kita durhaka. Sekali pun jika pemimpin itu zalim.

Rasulullah SAW bersabda: Bantulah saudaramu baik yang berbuat zalim atau yang dizalimi. Baginda ditanya, Kalau yang dizalim kami boleh menolong tetapi bagaimana dengan yang menzalimi wahai Rasulullah? Baginda menjawab, kamu pegang kedua tangannya atau kamu cegahnya daripada melakukan kezaliman, itulah cara kita menolongnya.

Sepatutnya hubungan sesama Muslim itu penuh dengan kasih sayang bukannya menyemai sikap benci membenci atau keras. Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan baginda adalah keras terhadap orang-orang kafir tetapi berkasih sayang sesama mereka (Muslim)…(al-Fath; 29)

Rasulullah SAW bersabda, "Seorang Muslim itu adalah saudara kepada seorang Muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada musuh… janganlah kamu saling berhasad dengki, janganlah saling bermusuhan dan janganlah kamu saling menipu… jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersaudara."

MINGGUAN: Kesimpulannya, bagaimana kita hendak selesaikan kemelut ini?

HARUSSANI: Kalau ulama perlu ambil peranan untuk selesaikannya, kita harus kembali ke pangkal jalan. Asas utama yang perlu adalah perpaduan, silaturahim dan hormat-menghormati. Perseteruan, pecah belah dan persengketaan adalah ajaran syaitan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu hendak menimbulkan permusuhan di antara kamu… (al-Maidah: 9).
Komen Penulis;
Kembalilah kita semua ke pangkal jalan.
Melayu/Islam Mesti Bersatu!!!!

26 Jun 2009

Mikaeel @ Micheal Jackson Kembali Kerahmatullah Dalam Iman


Dipetik dari Malaysiakini
Jun 26, 09 10:51am

Kematian Raja Pop Michael Jackson awal pagi ini akibat serangan jantung mengejutkan dunia dan dianggap sebagai satu kehilangan besar kepada para peminat dan dunia hiburan antarabangsa. Pegawai Koroner Long Angeles, Leftenan Fred Corral memberitahu CNN bahawa Jackson, 50, disahkan meninggal dunia dua jam selepas pasukan perubatan menerima panggilan dari rumah bintang tersebut.Michael dilahirkan pada 29 Ogos 1958 di Gary, Indiana.

Dia merupakan anak ketujuh daripada keluarga sembilan orang. Lima anak Jackson - Jackie, Tito, Jermaine, Marlon and Michael - membuat persembahan bersama pertama mereka dalam satu pertandingan nyanyian ketika Micheal berusia enam tahun. Mereka muncul juara dan seterusnya menjadi kumpulan paling paling popular - The Jackson Five, dan kemudiannya The Jackson 5.

Michael membuat album sulungnya pada 1972, dan album Thriller pada 1982, yang terus menjadi lagu top 10. Albumnya dijual sebanyak 21 juta di Amerika Syarikat dan sekurang-kurangnya 27 juta di seluruh dunia. Penerima 13 kali Anugerah Grammy semasa hayatnya bergelut dengan pelbagai kontroversi, termasuklah dakwaannya memeluk Islam serta dituduh mencabul kehormatan seorang budak lelaki pada 1993. Pada November tahun lalu, akhbar melaporkan, Michael memeluk Islam di rumah seorang rakannya Steve Porcaro di Los Angeles.

Turut hadir pada majlis itu penyanyi Yusuf Islam, pencipta lagu David Wharnsby dan penerbit album Philip Bubal.

Beliau dilaporkan memilih "Mikaeel" - sempena nama malaikat pembawa rezeki - sebagai nama Islamnya. Abangnya Jermaine dilaporkan berkata, pemegang gelaran “penghibur sepanjang zaman” oleh Guinness World Records itu menunjukkan kecenderungan untuk memeluk Islam sejak awal 1990-an.Michael kaya raya apabila album ketujuhnya Thriller terjual 109 juta keping, membina sebuah rumah mewah di Los Angelas yang dilengkapi dengan taman tema dan zoo persendirian.

Kediamannya itu sering dikunjungi kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan menghidap penyakit yang tidak boleh dirawat. Di situ beliau bergelut dengan kontroversi yang mendakwa beliau telah mencabul seorang kanak-kanak pada 1993.

Michael menjadi kegilaan anak muda di seluruh dunia dengan suara dan penampilannya yang unik, selain gerak tarinya yang bertenaga di pentas - dikenali sebagai tarian robot dan moonwalk.


Komen Penulis;

Inalillahiwainalillahirojiun....Al-Fatehah..

Setiap yang hidup pasti akan merasai mati, mudah2an Allah s.w.t mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan dapat ditempatkan di kalangan orang yang beriman...amin.

Dalam hidup seseorang memang ada banyak pahit maung dan suka-duka yang ditempuhi. Saya tidak mahu menyentuh pahit-maung yang dilalui oleh beliau sepanjang hidupnya.

Yang menarik perhatian saya ialah beliau adalah seorang individu yang berjaya dalam kariernya, mempunyai pendapatan tinggi yg kebanyakkan dari kita tak pernah bermimpi untuk memperolehinya dan yang paling hati saya tersentuh ialah beliau sempat memeluk Islam, berkunjung ke tanah suci Mekah & Madinah untuk menunaikan fardhu haji.

Mudah2an perkara ini akan menjadi pengajaran kepada kita semua. Bagaimana seorang yang dahulunya kafir, hidup dalam kesesatan, dan kemewahan boleh terbuka pintu hatinya untuk untuk memeluk Islam tetapi kita yang lahir dalam keluarga & persekitaran Islam asyik nak kata-mengata, bergaduh sesama sendiri dan menolak perdamaian.


24 Jun 2009

Orang Politik Memang ‘Pemurah Pahala’ - Apa Bezanya Pas Dengan Umno

Dipetik dari Minda Tajdid Dr. MAZA (Bekas Mufti Perlis)
Disiarkan di Mingguan Malaysia pada May 17, 2009


Ramai orang politik memang pemurah. Semua orang cakap begitu. Sifat pemurah orang politik mempunyai banyak makna. Mungkin kerana ingin menolong orang lain disebabkan mereka merasakan mereka itu pemimpin. Mungkin juga kerana ingin menjaga undi dan sokongan. Sehinggakan Ketua Dewan Ulama PAS pun mengeluh tentang ‘unsur rasuah politik’ dalam partinya. Samada dinamakan rasuah atau apa sahaja; orang politik itukan pemurah?!

Sekalipun mungkin ada maknanya yang tersendiri. Ya! Kuasa, pengaruh, nama, pangkat dan segala yang berkaitan dengannya bukan mudah hendak dilepaskan, juga bukan mudah untuk diubati jika sudah mabuk. Benarlah kata tokoh umat Islam yang terbilang al-Imam Sufyan al-Thauri (meninggal 161H):

“Aku tidak melihat paling kurangnya kezuhudan itu melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya” (al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 7/262).

Namun ramai orang politik dan ‘tidak politik’ bukan sahaja murah duit atau ‘harta dunia’ tapi juga murah pahala. Dengan mudah sahaja mereka memberikan ‘pahala’ mereka kepada orang lain, atau dengan mudah rela menanggung dosa orang lain jika mereka tidak dapat memberikannya pahala.
Nabi s.a.w pernah bertanya para sahabat baginda:

“Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Jawab mereka: “Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta”. Sabda baginda: “Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka” (Riwayat Muslim).

Hadis ini amat menakutkan. Inilah hakikat muflis atau bankrap yang hakiki. Adapun muflis dalam kehidupan dunia mungkin boleh diselesaikan atau berakhir. Namun muflis jenis ini membawa kesan dalam kehidupan ‘alam abadi’. Ya, kita semua jarang yang terlepas dari kesalahan ini. Namun kita selalu berusaha dan ingin mengelaknya. Malangnya, dalam kehidupan sesetengah ahli politik yang tidak berteraskan wahyu kita ada dapati bagi mereka memaki hamun orang, menuduh orang tanpa bukti, memakan harta orang atau rakyat, menumpahkan darah orang samada mencedera atau membunuhnya tanpa sebab yang diizinkan syarak bagaikan ‘rukun politik’ yang wajib dan ‘haram’ ditinggalkan. Lebih buruk lagi jika itu semua dihalalkan atas berbagai alasan.

Mengkritik dan memberikan pandangan berbeza dalam politik adalah tidak mengapa. Bahkan merupakan satu keperluan. Jika membabitkan hak rakyat, maka rakyat perlu dibela. Apatah lagi dalam ‘reka bentuk’ politik demokrasi yang diamalkan. Namun, memaki-hamun, mencerca, sehingga ada yang mencarut adalah bertentangan dengan syarak. Lebih buruk lagi ada yang mengutuk sifat peribadi orang lain yang Allah ciptakan seperti memperrsendakan ‘botak’, ‘hidung besar’, ‘mamak’ dan berbagai lagi. Makian, kutukan, sendaan itu dijadikan bahan ketawa yang ‘dikongsi dosa’ bersama pengikut dan penyokong.

Jika ada tuduhan terhadap musuh politiknya, belum pun ada bukti atau sokongan bukti, terus sahaja diperkatakan secara ‘yakin tanpa syak’. Bersorak sorai pengikut meraikan ‘kemurahan pahala’ orang politik. Sementara membelasah harta orang dilakukan oleh banyak pihak yang tidak jujur dan amanah. Namun, dalam banyak keadaan ramai orang politik yang mempergunakan harta rakyat untuk kepentingan dirinya. Demikian sejarah juga menunjukkan penumpahan darah dan penyeksaan ke atas hamba-hamba Allah yang lain sering mempunyai hubungan dengan politik.

Lebih buruk lagi, ada yang menghalalkan kesalahan-kesalahan tersebut atas alasan demi menegakkan kebenaran. Lalu dipetiklah kata-kata sarjana itu dan ini seperti al-Imam al-Ghazali dan al-Nawawi bagi menjustifikasikan perbuatan salah tersebut. Padahal jika dilihat kepada konteks huraian yang mereka sebutkan, bukan demikian maksudnya.


Mana mungkin mereka menghalalkan maki-hamun, carut-marut atau menuduh tanpa bukti atas alasan untuk menegakkan kebenaran. Kebenaran apa jika begitu rupanya?! Peperangan mempertahankan agama yang dihalalkan Allah dan rasulNya pun, tidak dibenarkan kita melampaui batas, apakah kita boleh melampaui batas ketika berpolitik ?
Firman Allah : (maksudnya)

“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas”. (Surah al-Baqarah: ayat 190)

Namun orang politik yang berperang untuk kerusi mereka melampaui batas. Saya masih teringat seorang penceramah politik tertentu (Sarjana Islam dari PKR di atas pentas Pas), beliau juga terkenal dengan alunan zikir munajatnya. Semasa saya menjadi mufti, beliau berceramah atas pentas politiknya bersama dengan pendengarnya mengalunkan ‘istighfar dan zikirnya’. Habis sahaja ceramah beliau memaki hamun saya di atas pentas yang sama dengan menggelar saya ‘bapa syaitan’. Beliau mahu memancung saya dengan tuduhan saya akan menulis buku khas mengkritik partinya dan beberapa tuduhan lain yang tidak benar. Padahal buku tersebut tidak pernah muncul dan saya tiada cukup masa untuk itu. Saya hanya tersenyum sinis melihat rakaman tersebut dalam you-tube.

Saya juga mungkin berterima kasih atas sedekahnya itu untuk saya yang kekurangan pahala ini. Cuma saya begitu kagum ; bagaimana politik boleh menukar watak manusia daripada berzikir kepada memaki hamun orang. Maka jangan hairan jika politik boleh menukar manusia menjadi pencerca, perompak harta, penyeksa bahkan pembunuh sekalipun. Ya, orang politik memang pemurah pahala. Dr. MAZA Bapa Syaitan,


Sikap tidak professional yang dilakukan oleh orang-orang politik seperti inilah yang membantutkan manfaat intelektual dan menyumbang kepada keretakan masyarakat. Malangnya, hal ini sering dilakukan oleh orang politik yang sedang berkuasa, juga yang ingin mendapatkan kuasa. Apa tidaknya, jika seseorang yang memberikan pandangan yang berbeza atau mengkritik dalam batasan yang wajar diambil tindakan, maka terbantut idea-idea yang baik.

Juga, apabila tindakbalas itu diambil dalam bentuk maki hamun, atau kezaliman yang lain, maka retak dan bergeserlah masyarakat. Sebab itu, saya dapati dalam negara kita ramai intelektual takut, atau tidak dilatih untuk memberikan pandangan ‘ketiga’ atau yang berbeza dengan ‘kumpulan-kumpulan politik’ yang ada. Ini kerana, jika kumpulan atau badan politik itu mempunyai kuasa kita akan diambil tindakan secara kuasa. Jika mereka belum berkuasa, senjata cercaan, makian dan kutukan akan digunakan yang menyebabkan banyak pihak tidak mampu menanggungnya.

Dengan itu, sifat murah pahala orang politik itu bukan sahaja untuk pesaing politik mereka, juga untuk sesiapa yang enggan akur kepada pandangan mereka, sekalipun tidak menyokong musuh mereka. Sehingga kadang-kala kita mungkin kecewa dan perit dengan sikap yang seperti itu. Namun Allah itu adil.
Sabda Nabi s.a.w :

“Segala hak akan dibayar kepada empunya pada Hari Kiamat, sehinggakan akan dibalas untuk biri-biri yang bertanduk atas perbuatannya ke atas biri-biri yang tidak bertanduk” (Riwayat Muslim).

Cumanya, jika kita semua ; samada kita orang politik atau tidak, merenungi hadis ini dan yang sebelumnya, mungkin kita akan tidak pemurah pahala lagi, atau akan kurang pemurah. Ini kerana setiap kita memang sukar untuk mengawal tabiat ‘boros pahala’ ini, namun mengingati hadis ini akan membataskan kita. Sifat pemurah memang dianjurkan oleh Islam kerana ia boleh membantu orang lain juga mengeratkan hubungan antara kita. Namun, jangan pemurah pahala kerana ia merosakkan orang lain dan meretakkan hubungan antara kita.


Komen Penulis;

Selalu kita dengar Islam tidak mengamalkan pendekatan "Matlamat Menghalalkan Cara". Sebaliknya ianya dipraktikan oleh ahli2 politik yang beragama Yahudi, Kristian maupun pendokong2 parti politik yang tidak berteraskan agama Islam.

Kini zaman telah berubah....Semakin ramai Sarjana2 Islam yang terjun ke dalam bidang politik. Sayangnya medan politik yang telah sedia kotor dengan "sepak terajang" pendokong2nya, menjadi lebih kotor dengan kehadiran segelintir Sarjana2 Islam ini. Sarjana2 Islam yang diharapkan dapat "mengislamkan" dunia politik telah bertindak sebaliknya.

Ilmuan2 Islam ini bolehlah diibaratkan seperti "pemandu2 kenderaan di Malaysia" yang begitu berhemah sebagai seorang individu tetapi berubah menjadi manusia yang kurang waras apabila memandu kenderaan mereka di jalanraya2.

Apa tidaknya "Ustaz"2 ini begitu tinggi ilmunya, begitu baik amalannya dan begitu hebat taskirahnya. Tetapi apabila mereka berceramah di gelanggang politik ada ramai daripada mereka yang mengunakan kata2 kesat dan caci-maki ke atas musuh2 politik mereka. Akhbar2 mereka pula sewenang2nya mencerca, memfitnah dan membuat andaian2 yang jahat terhadap pihak lawan.

Selain daripada janji mereka (Pas) untuk menegakkan hukum hudud (yang sudah pun dinafikan sendiri oleh DS Ir. Nizar di sidang DUN Perak) dengan cara mereka berpolitik, maafkan saya jika saya katakan bahawa saya tidak nampak bezanya antara Pas dengan Umno waima DAP sekalipun.






22 Jun 2009

Kerajaan Perpaduan Berkubur - Nik Aziz tarik balik kecaman terhadap Nasharudin


Isnin Jun 22, 2009
Dipetik dari mStar Online


(Pemberita: ARIFFUDDIN ISHAK dan SHAHRIL ADZRIN JAMIL)

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik kenyataan yang dilemparkan terhadap Timbalan Presidennya, Nasharudin Mat Isa berhubung idea kerajaan perpaduan.

Malah pimpinan PAS yang bermesyuarat hari ini bersetuju sebulat suara untuk memberhentikan serta merta polemik kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian saya selaku Mursyidul Am PAS menarik segala kenyataan saya terhadap YB Nasharudin dan dengan itu ianya tidak berbangkit lagi.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa polemik kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang diputuskan oleh Presiden PAS bersama pimpinan Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di Parlimen yang menolak idea kerajaan perpaduan," katanya dalam sidang media di bangunan PAS di sini hari ini.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata PAS juga bersetuju untuk melupakan perihal salah tanggapan yang berlaku antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politIk murahan Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu untuk terus memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulatkan Islam di persada tanahair," katanya dalam satu kenyataan empat perenggan yang dibaca dalam sidang media tersebut.
Dalam pada itu, Nasharudin yang ditemui selepas sidang media itu berkata hubungan antara beliau dan Nik Aziz tidak mempunyai masalah.

"Hubungan kami baik dan segalanya sudah selesai...itu sahaja, tiada lagi komen," katanya ringkas.

Komen Penulis:

Berakhirlah satu lagi episod duka polemik politik. Maka hancurlah hati2 umat Melayu/Islam yang selama ini memasang impian untuk melihat penyatuan Umno/Pas berhasil. Cita2 mereka hancur-luluh... Yang kini telah bertukar menjadi angan2.

Pada pandangan saya kedua2 pihak (Pas & Umno) masih belum bersedia untuk untuk duduk semeja, untuk membuang jauh sifat dendam, rasa bangga diri dan sangka buruk di antara satu sama-lain.

Cuma harapan saya mudah2an akan ada golongan dari kedua2 parti ini yang masih menyimpan impian agar suatu hari nanti ianya dapat direlisasikan.

Samada disedari atau tidak dan samada mahu diakui ataupun tidak, gerakan kearah penyatuan umat Melayu/Islam di Malaysia ini sebenarnya juga adalah suatu "Jihad"!!!!

Tanpa penyatuan ini mana mungkin Hukum Hudud yang dicanang2kan oleh Pas selama ini, dapat dipraktikkan di Malaysia. Stastik 2008, Melayu = 55%, Melayu+Bumiputera = 65% dan Melayu/Islam 60%.

Mengetahui bahawa sokongan Melayu/Islam yang hanya sejumlah 60% kekal terpecah dua, maafkan saya bila saya katakan bahawa perlaksanaan Hukum Hudud sebenarnya hanyalah "gula2" Pas untuk mendapatkan undi Melayu/Islam....Jika Pas benar2 ikhlas untuk melaksanakan hukum hudud, Pas tidak sepatutnya menolak mentah2 idea perpaduan dengan Umno.

Melayu/Islam Mesti Bersatu!!!!



Jalan Perdamaian Penuh Berliku - Lapangkan lah Dada Niatkan Semata2 Kerana Allah s.w.t




Dipetik Dari Minda Taddid - Blog Dr. MAZA (Bekas Mufti Perlis)



Disiarkan pada Jun 21, 2009






Saya dapat membayangkan betapa terguris perasaan beberapa tokoh politik yang dikecam oleh rakan sendiri disebabkan kerana hasrat ingin mencari perdamaian dalam kalangan kaum muslimin. Keadaan begini menjadikan kita lebih faham mengapa Allah menyebut: (maksudnya)


“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amalan soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku ialah dalam kalangan muslimin!”. Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan) dengan cara yang lebih baik; maka (engkau akan dapati) orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar (dari kebahagiaan dunia dan akhirat)”. (Surah Fussilat ayat 33-35).


Allah mengajar dalam ayat di atas agar kita menyeru kepada Allah, iaitu ajaranNya bukan kepada kepentingan diri, parti atau apa sahaja, serta menyatakan kita dalam kalangan kaum muslimin. Maka muslim atau Islam itulah identiti kita merentasi segala identiti dan ideologi perkauman, politik dan fanatik kelompok dan puak.

Kemudian Allah mengajar agar dalam dakwah kita berusaha menolak kejahatan dengan kebaikan. Tidak perlu menyimpan dendam dan amarah yang tidak sudah. Dengan tidak menggadaikan prinsip dan berhati-hati, dalam masa yang sama al-Quran memberitahu kita tindakan menunjukkan kebaikan dalam menghadapi kejahatan boleh menatijahkan musuh menjadi rakan setia.

Namun Allah juga memberitahu untuk melaksanakan hal ini amatlah berat dan tidak akan sanggup dipikul melainkan mereka yang sabar dan mendapat kurniaan besar daripada Allah.


Saya tahu ramai orang politik baca ayat ini. Mereka juga tahu Allah menyebut dalam firmanNya yang lain (maksudnya);

“Dan jika dua puak daripada orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah antara keduanya; jika salah satunya berlaku melampau terhadap yang lain, maka perangilah puak yang melampau itu sehingga mereka kembali mematuhi perintah Allah; jika mereka kembali patuh, maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 9-10).


Juga sabda Nabi s.a.w:


“Mahukah kamu aku khabarkan amalan yang lebih tinggi darjatnya daripada puasa dan solat ? Jawab para sahabah: Bahkan. Sabda baginda: “Mendamaikan hubungan, kerana rosaknya hubungan itu adalah pencukur (mencukur agama)” (.Riwayat Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani).


Amat dukacita jika ada dalam kalangan orang Islam melenting dengan idea perdamaian antara kelompok-kelompok Islam yang berbalahan. Mungkin kerana dia kurang jelas maksudnya, atau beberapa andaian politik yang menakutkan.

Apapun, perdamaian bukan semestinya menghapuskan identiti, tetapi untuk kembali memahami antara satu sama lain atas asas ukhuwwah islamiyyah. Bak firman Allah: (maksudnya)


“Tiada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau menyuruh berbuat kebaikan, atau menyuruh perdamaian antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar” (Surah al-Nisa’: ayat 114).


Jika kita tidak melenting dengan cadangan agar penjenayah Chin Peng dimaafkan dan dibawa pulang, mengapa pula begitu marah untuk sesama muslim cuba duduk semeja, maaf memaafi dan berunding untuk kebaikan umat dan rakyat.
Semasa saya masih menjawat jawatan Mufti Perlis, saya telah pun menulis rencana dalam Mingguan ini bertajuk “Apa Salahnya Mereka Duduk Semeja?”. Pihak TV9 juga ketika itu turut menjemput saya untuk mendiskusikan tajuk tersebut dalam siarannya.

Hari ini, hasrat itu dinyatakan sendiri oleh orang politik. Saya mulanya amat bersyukur. Namun nampaknya ia tidak semudah itu. Rintangan dan halangan amat besar dan sukar. Dendam, prejudis, hasutan dan sejarah silam membaluti isu ini.

Nampaknya lebih mudah untuk kelompok-kelompok politik muslim ini duduk dengan ‘orang lain’ dibandingkan saudara muslim mereka sendiri. Jika ada pun rekod buruk perdamaian yang pernah berlaku antara PAS dan UMNO, itu telah pun berlalu. Mereka yang terlibat dalam sejarah lepas sudah pun tiada dalam layar politik hari ini.

Kita bukan Kristian yang mempercayai dosa warisan Adam ditanggung oleh anak cucunya dan tidak akan terampun melainkan Jesus disalibkan. Sebaliknya kita ini percaya dengan apa yang Allah sebutkan tentang ciri-ciri ahli syurga, antaranya: (maksudnya)

“..dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang, dan (ingatlah), Allah mengasihi mereka yang berbuat perkara-perkara yang baik” (Surah Ali ‘Imran ayat 134).




Komen Penulis;

Adakah pemimpin2 & ahli2 Pas yang pro TGNA lebih rela membiarkan perpecahan Melayu/Islam di negara kita ini berpanjangan?
Mudah2an hati mereka terbuka untuk berdamai dan bersatu...Buangkan lah yang keruh dan ambillah yang jernih...
Kita tunjukkan kepada dunia bahawa bangsa Melayu adalah suatu bangsa yang boleh bersatu!!!!.
Kita ini ibarat "biduk lalu, kiambang bertaut".
Ditambah pula dengan keimanan di dada perkara tersebut X mustahil...Cuma sekarang semua pemimpin perlu berlapang dada...Perpaduan ini adalah baik untuk semua dan juga negara. Jestru itu jika selepas ini ada di antara tok2 menteri yang sediada, terpaksa digugurkan demi memberikan laluan kepada kepada pemimpin2 dari parti Pas, terimalah dengan hati terbuka.
Contohilah persaudaraan yang dijalin sebegitu rupa oleh orang2 Ansar dan Muhajirin. Bukan sahaja harta yang sanggup mereka kongsikan bersama, tetapi bagi yang ada 2-3 isteri, mereka sanggup menceraikan satu dan dikahwinkan dengan saudara Muhajirin mereka.Begitulah indahnya persaudaraan sesama Islam. Itulah sunnah Rasullullah s.a.w yang diajarkan kepada kita.
Seperti yang kita ikrarkan kepada Allah di dalam setiap solat kita (di dalam doa Iftitah) yang bermaksut, "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup & matiku semata2 kerana Allah s.w.t. Jestru itu saya menyeru diri saya dan sekelian umat Islam agar sama2 kita ketepikan dendam kesumat, kepentingan individu dan perasaan riak/bangga diri, sebaliknya marilah kita sama2 eratkan perpaduan antara kita.
Sesungguhnya semua Umat Islam itu bersaudara!!!!
Allah Hu Akbar!!!!!!!!!Melayu/Islam Mesti Bersatu!!!!!



18 Jun 2009

Islamkan Politik, Atau Politikkan Islam?

Dipetik dari Blog Minda Tajdid Dr. Maza (Bekas Mufti Perlis)
Disiarkan pada May 31, 2009

Saya sering bercakap tentang “Islamkan politik, jangan politikkan Islam”. Mungkin seseorang bertanya apakah beza antara kedua ini? Bezanya adalah jika kita berusaha mengislamkan politik kita memastikan tindak tanduk atau gerakerja politik itu tidak bercanggahan dengan Islam. Juga, jika ada pengamalan politik yang belum islamik, kita akan berusaha untuk mengislamisasikannya. Dalam ertikata lain, Islam adalah panduan sebelum tindakan.

Sementara mempolitikkan Islam adalah menggunakan Islam sebagai modal politik untuk kepentingan kuasa. Maka Islam bukan panduan tetapi sekadar alasan atau ‘cop halal’ yang dibuat untuk menjadikan masyarakat atau pengikut menerima sesuatu tindakan.

Hasilnya, seseorang akan bertindak dalam gerakerja politiknya tanpa terlebih dahulu melihat kepada ajaran Islam, namun apabila ia dipertikaikan, maka pendapat atau nas Islam akan digunakan untuk membela diri. Dalam ertikata lain mengislamkan politik bererti menjadikan Islam sebagai panduan. Sementara mempolitikkan Islam bererti menjadikan Islam sebagai alat atau alasan.

Maka sesiapa yang menjadikan Islam sebagai dasar atau panduan, maka dia akan bersedia menarik balik pandangan atau tindakan sekiranya dia dapati bercanggahan dengan ajaran Islam. Adapun yang menjadikan Islam sebagai alasan dan alat, dia menggunakan Islam bagi menghalalkan tindakan politiknya sekalipun ternyata salah.
Dia bukan hendak mendengar dalil atau hujah syarak yang kukuh untuk diamalkan, sebaliknya dia mencari orang agama atau pendapat yang sanggup menghalalkan tindakannya sekalipun dia tahu itu pendapat yang diberikan untuk menyokongnya itu lemah dan tidak kukuh. Ini sama dengan golongan taksub dan pengikut mazhab fekah secara membuta tuli dengan tidak memperdulikan alasan dan hujah yang kukuh.

Sehingga al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) mengkritik mereka ini dengan katanya:
“Yang lebih pelik dari semua itu adalah sikap kamu wahai golongan taklid!. Kamu ini jika mendapati ayat al-Quran yang bersesuai dengan mazhab kamu, maka kamu akan terima apa yang jelas dari ayat itu dan berpegang kepadanya. Teras kamu dalam perkara berkenaan ialah pendapat mazhab kamu, bukan ayat tersebut. Jika kamu dapati ayat lain yang setanding dengannya menyanggahi pendapat mazhab kamu, kamu tidak akan menerimanya. Kamu akan cuba membuat berbagai takwilan dan mengeluarkannya dari maksudnya yang jelas, kerana tidak bersesuaian dengan mazhab kamu. Inilah juga yang kamu lakukan kepada nas-nas al-Sunnah. Jika kamu dapati satu hadis yang sahih bersesuaian dengan mazhab kamu, kamu menerimanya. Kamu kata “kami ada sabda Nabi s.a.w. begini dan begitu”. Jika kamu dapati seratus atau lebih hadith sahih yang berbeza dengan mazhab kamu, kamu tidak pandang kepadanya, walaupun sedikit..”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 2/195, Beirut: Dar al-Fikr).

Usaha atau sikap, samada mengislamkan politik atau mempolitikkan Islam bukan semestinya berkaitan parti atau kumpulan tetapi lebih kepada sikap individu dalam kebanyakan hal. Jika salah satu sikap itu menjadi aliran utama dalam sesebuah parti atau kumpulan, maka itu mencerminkan kecenderungan mereka yang sebenar. Untuk berpegang dan istiqamah dengan prinsip Islam dalam mengharungi politik hari ini bukanlah mudah.
Namun, itulah yang patut dihayati oleh setiap kita. Dalam sejarah pertembungan Nabi Musa a.s dengan Fira’un, Fir’aun pernah mempertikaikan tindakan Musa a.s. memukul seorang warga Qibti sebelum beliau lari ke Madyan. Allah menceritakan hal ini dalam al-Quran dengan firmanNya: (maksudnya)

“Maka pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya: “Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam. Menyuruhmu membebaskan kaum Bani Israil mengikut kami”. Firaun menjawab: “Bukankah kami telah memeliharamu dalam kalangan kami semasa engkau (Musa) kanak-kanak yang baru lahir, serta engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu? Dan (bukankah) engkau telah melakukan satu perbuatan (kesalahan) yang telah engkau lakukan dan (dengan itu) engkau dalam kalangan orang yang tidak mengenang budi?” Nabi Musa berkata: “Aku melakukan perbuatan demikian sedangkan aku ketika itu dalam kalangan orang yang belum mendapat petunjuk. Lalu aku melarikan diri dari kamu, ketika aku merasa takut kepada kamu; kemudian Tuhanku mengurniakan daku ilmu pengetahuan, dan menjadikan daku seorang RasulNya. Adapun budimu memeliharaku yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah bertindak memperhambakan kaum Bani Israil.” (Surah al-Syu‘ara: 16-22).

Inilah rasul, dia mengajar kita prinsip. Dalam suasana yang sengit, Nabi Musa tetap mengakui bahawa tindakannya memukul warga qibti itu satu kesalahan dan bukan tindakan yang berdasarkan petunjuk yang betul. Nabi Musa tidak cuba menghalalkan tindakannya demi kepentingannya, tidak sama sekali! Yang salah tetap salah.
Nabi Musa a.s. menghadapi kuasa politik yang maha besar di zamannya bahkan paling bersejarah dalam tamadun manusia. Lebih besar dari segala perjuangan hari ini. Pun begitu, prinsip tetap prinsip. Baginda bertindak memastikan manusia menurut wahyu, bukan wahyu diputarbelitkan untuk kehendak manusia.

Dalam politik kita, amat sukar kita dapati seseorang mengakui kesilapan tindakan partinya, atau tindakannya. Berbagai alasan akan dicari demi membela dirinya atau puaknya, sekalipun dia sendiri sedar itu merupakan kesilapan atau kesalahan. Ada sanggup tergadai prinsip daripada tergadai kerusi atau jawatannya. Maka jadilah apa yang jadi. Maka kita lihat lahir suasana maki hamun, cerca mencerca dan berbagai tindakan yang kadang kala di luar dari batas kewarasan dan perbincangan yang matang.

Islam bukan terlalu mengongkong politik. Politik satu bidang yang luas yang membabitkan kemaslahatan umat dan rakyat. Politik bukan satu hobi seperti main golf atau bola sepak. Politik mempertaruhkan kemaslahatan manusia. Maka tindakan dalam politik hendaklah tindakan yang membawa kemaslahatan kepada umat dan rakyat. Bukan untuk kepentingan diri dan parti.

Kemudian, perlu kita ingat, bukan semua yang berada di medan jihad itu mesti masuk syurga. Walaupun mungkin tindakannya itu kadang kala menguntungkan umat Islam, namun empunya diri jika tidak betul niat atau tindakan, atau keduanya, maka dia mungkin tidak mendapat balasan yang baik di sisi Allah sekalipun berjuang menggunakan nama Islam. Bahkan dalam hadis ada individu yang kelihatan hebat berjuang, tetapi menjadi ahli neraka.
Kata Abu Hurairah r.a:

“Kami menyertai Rasulullah s.a.w dalam satu peperangan. Baginda berkata kepada seorang lelaki yang mendakwa Islam, “dia dalam kalangan ahli neraka”. Apabila peperangan berlaku, lelaki tersebut telah berperang dengan hebat dan tercedera. Lalu ditanya Rasulullah s.a.w: “Engkau telah berkata dia dalam kalangan ahli neraka sedangkan dia berperang hari ini dengan hebatnya dan telah mati”. Jawab baginda: “Ke neraka”. Maka sesetengah pihak merasa keraguan. Dalam keadaan tersebut, tiba-tiba mereka dimaklumkan dia belum mati, tetapi tercedera parah. Apabila malam menjelang dia tidak dapat sabar atas kecederaannya, lalu membunuh diri. Lalu diberitahu perkara tersebut kepada Rasulullah s.a.w, lantas baginda bersabda: “Allahu Akbar!, aku menyaksikan aku hamba Allah dan rasulNya!”. Lalu baginda perintahkan Bilal agar mengistiharkan bahawa tidak akan masuk syurga melainkan “jiwa yang muslim” dan Allah mungkin menguatkan agamaNya dengan lelaki yang jahat”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam masyarakat kita, agama memang menjadi faktor penarik bagi banyak pihak. Justeru, setiap yang berjuang agama atau memperkatakan agama sebagai bahan ucapan dan tindakannya hendak bertanya diri sendiri, apakah dia memang inginkan agama, atau inginkan kuasa dengan nama agama?. Jika dia telah betulkan niatnya, dia hendaklah memastikan tindakan selaras dengan kehendak Islam, bukan menafsirkan Islam agar kelihatan selaras dengan tindakannya. Maka islamkan politik kita, jangan politikkan Islam kita!


Komen Penulis;

Kupasan Dato' Prof Madya Dr, MAZA, telah begitu jelas, cuma saranan saya janganlah kita apabila berbalah kita melampaui batas.

Masalah kita yang paling besar adalah prasangka dan juga "Politicking" yang melampau...Apa juga yang dikatakan akan mengambilkira "politic gain" terlebih dahulu...X Ikhlas semuanya atas dasar kepentingan politik semata...Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan juga kepada saudara2 semua X kira dari kalangan Umno mahupun Pas...Sama2 kita renungi, sifat2 Munafik yang keempat, iaitu "bila berbalah, kita berlebih2".

Sama2 lah kita cuba untuk menjauhinya...Kita boleh tidak bersetuju di antara satu sama lain, berlainan pendapat mungkin sampai tahap berdebat/bertekak, tetapi niatkan lah itu semua yang kita lakukan "semata2 kerana untuk mendapat keredhaan dari Allah s.w.t/Lillah hi taala". Sesungguhnya semua Umat Islam itu bersaudara.

"Melayu/Islam Mesti Bersatu!!!!"

15 Jun 2009

Penyokong k'jaan perpaduan belakangi nasihat mursyidul am...Cinta 4 Segi


Dipetik dari Malaysiakini, Jun 14, 09 5:22pm (Link:http://www.malaysiakini.com/news/106444)

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dilaporkan berkata pihak yang berkeras menyokong cadangan kerajaan perpaduan sebagai tidak mendengar nasihat dan cuba membelakangkan kuasa beliau sebagai Mursyidul Am PAS.

"Bagaimanapun sebagai pemimpin parti, saya akan terus menasihatkan ahli, walaupun ada yang tidak mendengarnya," katanya dalam laporan Bernama.

"Isteri boleh jadi buat salah kepada suami, dan suami boleh jadi buat salah kepada isteri, anak boleh jadi buat salah kepada ibu bapa. Begitu jugalah dalam politik," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew, di pejabatnya di Kota Darulnaim, di Kota Bharu hari ini.

Katanya, beliau tetap dengan pendiriannya bahawa mereka yang mempertahankan idea pembentukan kerajaan perpaduan seperti yang disarankan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai “boneka Umno”.

Khamis lalu, Nik Aziz membidas pemimpin parti itu yang mempertahankan saranan membentuk kerajaan perpaduan dengan menyifatkan mereka "boneka Umno".

Nik Aziz dilaporkan berkata beliau tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu untuk menyokong Pakatan Rakyat.

Beliau juga dilaporkan berkata suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno.

Laporan minggu lalu itu turut memetik Nik Aziz sebagai berkata, isu kerajaan perpaduan ini ditimbulkan oleh presiden PAS, bukannya menggambarkan kehendak PAS.

"Presiden ini ketua bagi pertubuhan, dan pertubuhan tidak buat keputusan, itu kenyataan peribadi," katanya dalam laporan tersebut.

Komen Penulis;

Payah jugak jadi TG Hj. Hadi ni ye, Penasihat parti lebih berkuasa daripada Presiden. Mungkin TG Hj. Hadi leh masuk Umno lepas ni. Jika Pas X menerima cadangan penyatuan Melayu Beliau mungkin boleh menggunakan opsyen tersebut. Boleh test power siapa yang dipilih oleh ahli2 Pas dan adakah mereka mahukan perpecahan Melayu/Islam di negara kita ini berpanjangan.

14 Jun 2009

Kerajaan Perpaduan Dan Persaudaraan Islam - Niatkan kerana Allah, bukan kerana Parti



Salam, dipetik dari Minda Tajdid Dr. Maza (Bekas Mufti Perlis)Disiarkan pada Jun 14, 2009. (Link :
http://drmaza.com/home/?p=635#more-635)

Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat.

Orang yang enggan melihat sesama muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian. Allah menyebut: (maksudnya)

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).

Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya. Nabi s.a.w bersabda:

“…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim).

Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda:

“Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud).

Penyakit "asabiyyah" bukan sahaja dalam bentuk perkauman Arab, atau Parsi atau Melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada "pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk Arab atau Melayu boleh berpakat dengan orang lain untuk menindas kaumnya.

Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti. Bagitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam.
Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.

Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu’awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan.

Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin `Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu`awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina `Ali. Mu`awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba`ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr).

Di samping itu, Mu`awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:”Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)” (Riwayat al-Bukhari). Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi Muhammad s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu `tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan. Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).

Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam. Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan PAS dalam isu-isu khusus?

Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan PAS boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang Nabi s.a.w sebut:

“Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan PAS berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.

Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat. Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama muslim. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).

Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?. Saya fikir jika muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri.

Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan `Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan `Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera `Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya `Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus..sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera `Aisyah dan `Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera `Aisyah telah menyatakan: “Tentera `Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera `Ali pula menyatakan: “Tentera `Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak…(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time”.

Komen penulis;

Saya harap dengan penjelasan di atas kita semua akan lebih jelas siapa yang bersifat "Asabiyyah" sebenarnya!!! "Asabiyyah" bukan sahaja mereka yang memperjuangkan kepentingan bangsa mereka dengan menindas hak2 bangsa2 lain. Walaupun ini sebenarnya samasekali tidak pernah dilakukan oleh Umno tetapi itulah yang telah dilebelkan oleh Pas dan parti2 pembangkang sejak beberapa dekat yang lalu.

Bagi saya "asabiyyah" yang lebih dahsyat adalah doktrin Pas yang menghalalkan kerjasama dengan puak anti Islam tetapi dalam masa yang sama begitu memusuhi saudara yang seagama dengan mereka. Setiap manusia tak sunyi dari membuah khilaf, kembalilah ke pangkal jalan sekiranya kita membuat kesilapan.

Sebagai seorang Islam sedikit sebanyak setiap dari kita mempunyai asas agama untuk menimbang mana yang baik & mana yg buruk, bukalah minda kita dan mintak lah petunjuk dari Allah s.w.t.. Apalah gunanya "title" "Ulamak" maupun "Tok Guru" jika "mereka" ini menjurus kepada kemusnahan umat!!!! Ingatlah di antara tanda2 kiamat ialah "ulamak" yang menyesatkan!!!! Sedarlah bangsa ku sebelum terlambat! Jangalah kita semua disesatkan oleh definasi sempit sesetengah pihak. Lihatlah dari sudut yang lebih besar!!!